BANGI, 23 Syaaban 1442H, Isnin – Pengundi akan menolak UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekiranya parti itu mendahulukan kepentingan peribadi tanpa mengambil pendekatan menguntungkan rakyat.
Hakikatnya, rakyat kini semakin bijak menilai dan tidak teragak-agak untuk menolak UMNO buat kali kedua jika parti itu tidak berubah.
Pemerhati politik, Ustaz Ibrahim Hassan al-Hafiz berkata, dalam situasi sekarang dan pola pengundi yang tidak terikat dengan mana-mana parti, ahli politik perlu mendahulukan kepentingan rakyat dan tidak boleh terus berpolemik.
“Tujuh kerusi yang dimenangi BN pada PRK lepas tidak boleh dijadikan ukuran kerana pertembungan dua penjuru dan PAS bersama menyokong BN.
“Mungkin UMNO perlu kalah kali kedua dalam PRU-15 baharulah sikap ego dan sombong tersebut akan berubah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Sementara itu, mengulas mengenai Muafakat Nasional (MN) – yang diasaskan bersama UMNO dan PAS – katanya, itu semua retorik.
Beliau berkata, keikhlasan UMNO dalam memperkasakan MN dipertikaikan kerana tujuan asal penubuhannya bukannya hanya esklusif kepada UMNO dan PAS.
“Ruh semangat Muafakat Nasional ialah perpaduan Melayu Islam tanpa mengira parti politik atau NGO. Namun apabila Bersatu dilihat ingin menyertai MN dan tidak menguntungkan UMNO maka tiada lagi kepentingan UMNO bersama MN.
“Ucapan-ucapan yang mengguris perasaan PAS ketika PAU 2020 menzahirkan apa yang terpendam dalam hati UMNO.
“MN dibina dengan linangan air mata dan dihancurkan dengan perasaan ego dan kepentingan individu,” katanya.
No comments
Post a Comment