NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan negeri mohon maaf pembatalan bazar Ramadan




KOTA BHARU: Kerajaan negeri memohon maaf kerana terpaksa membatalkan penganjuran bazar dan Madinah Ramadan susulan peningkatan kes COVID-19 di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, berkata bagaimanapun peniaga di gerai tepi jalan, restoran dan hotel dibenarkan beroperasi sepanjang Ramadan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, pihaknya terpaksa membatalkan program yang biasa dijalankan di Madinah Ramadan, termasuk berbuka puasa secara berjemaah, tazkirah, tadarus dan program lain untuk dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Selain itu, semua acara rasmi kerajaan negeri turut dibatalkan sepanjang bulan Ramadan kecuali mesyuarat penting.

"Punca peningkatan kes harian COVID-19 di Kelantan adalah disebabkan pergerakan masyarakat yang terlalu bebas, selain menghadiri perjumpaan dalam program sosial serta majlis perkahwinan ketika cuti sekolah baru-baru ini," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Dr Izani berkata, nilai kebolehjangkitan (RT) atau R-naught (R0) COVID-19 di negeri ini adalah 1.12, lebih tinggi daripada kadar bacaan Rt kebangsaan iaitu 1.03 dan berada pada kedudukan keempat selepas Terengganu, Putrajaya, dan Sabah.

"Kita mengesan 70 peratus daripada pesakit COVID-19 adalah kontak rapat, namun 22 peratus lagi kita tidak mengetahui dari mana punca jangkitan ini dan ia menunjukkan virus ini masih bebas berada dalam komuniti," katanya.

Ditanya mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan atau sebaliknya, Dr Izani berkata perkara itu bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Setiap hari kita akan menghantar laporan kes harian COVID-19 kepada MKN untuk diteliti," katanya.

Semalam, kes harian COVID-19 di Kelantan mencatatkan 171 kes dan berada di kedudukan ketiga tertinggi selepas Sarawak dan Selangor.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/805894/kerajaan-negeri-mohon-maaf-pembatalan-bazar-ramadan

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo