KUALA TERENGGANU: Karnival PenjanaKerjaya Terengganu yang berakhir semalam berjaya membantu 839 individu mendapatkan pekerjaan sesuai, sepanjang dua hari karnival itu berlangsung.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata seramai 3,665 pencari kerja hadir untuk temu duga bersama majikan di karnival itu.
"Daripada jumlah itu, seramai 936 orang layak menjalani temu duga kedua dan seterusnya 839 orang berjaya mendapat pekerjaan sesuai dengan kelulusan akademik serta kemahiran mereka.
"Ini satu kejayaan membanggakan kerana penempatan 839 pekerjaan yang berlaku ini akan memberi limpahan ekonomi yang baik di negeri ini pada masa depan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Karnival anjuran Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) itu bertujuan mengurangkan kadar pengangguran ketika ini.
Sebanyak 11,000 peluang pekerjaan ditawarkan dalam karnival itu dengan kekosongan terbanyak iaitu 3,998 bagi industri minyak dan gas, diikuti sektor perladangan dengan 2,500 kekosongan.
– BERNAMA
No comments
Post a Comment