NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan tertipu dengan agenda pecahbelahkan kesatuan ummah


WALAUPUN masih ada pemimpin Melayu yang berani menyanggah kebijaksanaan bangsa Melayu, namun tiada siapa yang mampu menafikan pesan orang-orang tua kita: “Bersatu teguh, bercerai roboh” yang menuntut kesatuan bangsa, lebih-lebih lagi ia menjadi tuntutan Islam.

Begitu juga, pepatah orang-orang tua yang lebih awal makan garam juga berpesan untuk kita berhati-hati dengan “musang berbulu ayam” yang menjadi “gunting dalam lipatan” yang sentiasa menanti peluang mahu memusnahkan perpaduan ummah yang cuba kita usahakan.

Kita semua ada kekurangan dan kelebihan masing-masing termasuk NGOi dan juga parti-parti yang Melayu-Islam. Namun, jika kita sanggup mengenepikan perbezaan dan mencari persamaan, bersatu dalam saff yang kukuh – In Sya Allah ummah akan menjadi kuat kerana “belakang parang kalau diasah lagikan tajam”.

Tiga entiti utama perjuangan asal orang Melayu adalah “kelangsungan bangsa Melayu” untuk mempertahankan institusi “Raja-Raja Melayu” dengan “Islam sebagai kuasa penyatu” yang mengadunkannya. Faktor “Melayu-Islam-Raja” inilah pasak dan tunjang kekuatan perjuangan Melayu Islam yang melahirkan Perlembagaan Persekutuan 1957.

Jangan kita alpa akan tiang seri itu. Jangan kita lupakan titik peluh dan titisan darah pahlawan bangsa dan ulama’ terdahulu yang berjuang menghalau pendatang Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun dan berjaya memerdekakan ibu pertiwi lalu mengizinkan kita menghirup kesenangan kini bersama anak-anak dan cucu cicit kita.

Atas peringatan inilah wahai pejuang politik bernama Melayu-Islam: sebagai Muslim, kamu tiada pilihan kecuali kembali kepada Seruan Ilahi supaya bersatu atas paksi ‘Aqidah. Bukan buang jati diri dan membelakangkan tuntutan Agama yang telah memerdekakan dirimu daripada kegelapan jahiliyah kepada Cahaya Kebenaran Islam.

Sesungguhnya Allah tidak bertanyakan kejayaan kamu, tetapi tetap menilai setiap usaha kamu mempertahankan Islam dalam apa jua bentuk, keadaan dan kemampuan yang ada padamu. Apakah kamu masih tidak yakin lagi kepada kebenaran agama Islam? Apakah benar kamu sanggup gadaikan agamamu semata-mata ingin “beriman dengan peti undi kawasan”?

Sudah-sudahlah. Kembalilah kepada Penciptamu yang memberikan udara bersih yang dihirup setiap saat secara percuma daripada Keagungan Ilahi. Cuma satu Pinta-Nya: abadikan dirimu kepada-Nya tanpa kecuali, penuh redha dan penuh rela demi janji kehidupan abadi kemudian hari. Pasti Dia tidak memungkiri Janji!

Haji Rashidi Haris @ Lebai Kampung

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo