NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hikayat 3 Abdul - Pengajaran buat orang Melayu

Oleh MR ISKANDAR ZULQARNAEN

Baru-baru ini penulis sempat menonton semula filem '3 Abdul' lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Entah yang ke berapa ratus kali agaknya penulis menonton cerita lagenda ini.

Sambil menonton filem itu penulis bukan sahaja tertawa dengan lawak P Ramlee itu, malah penulis tertawa mengenangkan sikap parti-parti Melayu sekarang yang tak ubah seperti dalam naskhah itu.

Memang filem-filem lakonan atau arahan Tan Sri P Ramlee tidak dapat dinafikan penuh dengan pelbagai mesej kemanusiaan yang boleh diambil pengajaran. Malah dikatakan mendahului zaman.

Sebagaimana yang kita semua tahu, dalam filem itu ada tiga watak utama tiga adik-beradik iaitu yang sulung Abdul Wahab, anak kedua Abdul Wahib dan yang bongsu Abdul Wahub.

Watak abang sulung dan anak kedua digambarkan sebagai abang-abang besar yang tamak, busuk hati dan bodoh sementara adik yang bongsu sebagai seorang yang baik hati, rasional dan cerdik.

Seperti yang kita semua tahu akibat ketamakan kedua-dua abangnya itu, Abdul Wahub terbuang dan dinafikan haknya untuk mendapat bahagian hartanya sebaik sahaja ayahanda mereka meninggal dunia.

Kemudian kedua-dua abangnya yang telah membolot hartanya itu ditipu pula oleh Sadiq Segaraga seorang hartawan yang juga bersikap tamak. Akibatnya Abdul Wahab dan Abdul Wahib dilelong untuk dijadikan hamba abdi.

Abdul Wahub yang kemudiannya mendapat warisan harta ayahnya yang tersimpan di luar negara telah menggunakan kekayaannya itu untuk membalas dendam terhadap Sadiq Segaraga yang telah membolot harta abang-abangnya itu.

Seperti yang kita tahu juga, Abdul Wahub telah berkahwin dengan anak Sadiq Segaraga. Dan dengan segala muslihatnya akhirnya dia berjaya membolot harta Sadiq termasuk apa yang telah disamun daripada abang-abang besarnya dulu. Dia juga berjaya melelong Sadiq dan keluarganya menjadi hamba abdi kecuali isterinya.

Abdul Wahub mahu satukan semua




Abdul Wahub sebenarnya boleh saja membolot kesemua harta-harta itu. Kalau dia ingin mengenang betapa jahatnya perbuatan kedua-dua abangnya dahulu yang pernah menendangnya daripada keluarga pada tahun 1978 dan menafikan haknya. Memenjara, menekan, menfitnah, namakan saja apa yang tidak pernah dibuat oleh abang-abang besarnya itu kepada dirinya?

Namun Abdul Wahub tetap mahu supaya semua ahli keluarga ini bersatu semula. Dia kemudiannya telah membeli abang-abangnya, mentuanya dan kakak-kakak iparnya yang sedang menjadi hamba abdi kepada orang-orang lain.

Abdul Wahub telah membeli kesemuanya kecuali Tuan Penasihat Kasim Pathelon yang selama ini menjadi punca semua masalah. Sepatutnya tuan penasihat bagi nasihat yang baik. Bila tuan penasihat bagi nasihat suruh berpecah itu nasihat busuk!

Adegan ketika proses Abdul Wahub meminta tandatangan perjanjian pengembalian harta dengan abang-abangnya Abdul Wahab dan Abdul Wahib memang sinonim dengan situasi politik Melayu sekarang.

Abdul Wahib tak sedar diri

Abang-abang besarnya Abdul Wahab dan Abdul Wahib pada masa itu telah kalah dan menjadi hamba abdi. Sungguh pun begitu apa yang dilalui mereka itu langsung tidak dapat memberikan mereka sedikit pun pengajaran atau pun rasa insaf terhadap apa yang telah berlaku pada diri mereka.

Ketika Abdul Wahub menyatakan untuk menyerahkan satu perempat hartanya kepada setiap seorang abang-abangnya itu, Abdul Wahib tanpa segan silu membantah kerana beranggapan bahawa adiknya Abdul Wahub bakal memperolehi dua perempat sedang mereka sebagai abang-abang besarnya itu bakal menerima hanya satu perempat daripada harta-harta itu.

Sikap gelojoh Abdul Wahib ini memang melucukan apabila dia tiba-tiba berdiri membantah dengan gaya abang besar sedangkan pada masa itu dia sebenarnya masih lagi hamba abdi kepada adiknya Abdul Wahub. Cukup tidak sedar diri dan tak sedar dek untung!

Di situ kita lihat betapa rasa prejudis dan membuat andaian-andaian bahawa orang yang ingin membantu kita itu sebenarnya ada niat buruk merupakan punca berlaku semula pergaduhan dan perpecahan di ambang penyatuan.

Secara realiti, orang yang memang suka menganiaya orang, busuk hati dan tamak seperti Abdul Wahib ini akan berasa bahawa orang lain pun akan melakukan perkara yang sama pada diri mereka.

Mereka sentiasa rasa curiga pada orang lain walau pun orang lain itu sebenarnya mahu menyelamatkan mereka. Mereka tetap bersangka buruk dan curiga berfikir bahawa orang lain hanya mahu menganiaya mereka.

Tak insaf... tak serik...

Terbukti bahawa pengalamannya dijual dan menjadi hamba abdi selama 22 bulan tidak menginsafkan dirinya malah terus bongkak dan masih menganggap dirinya sebagai abang besar.

Mungkin sebelum semua itu terjadi dia seorang abang besar yang memiliki harta lebih banyak daripada Abdul Wahub. Tapi dia mesti sedar keadaan sudah berubah. Itu dulu. Masa sebelum dia kalah dan menjadi hamba abdi selama 22 bulan. Kena akui.

Semasa Abdul Wahub hendak menyatukan semuanya keadaan sudah berubah. Sepatutnya abang-abang besarnya Abdul Wahab dan Abdul Wahib kena terima bahawa apa yang mereka ada sekarang tidak sama dengan situasi sebelum mereka dilelong dahulu.

Orang yang dah terduduk tetapi masih bersikap bongkak ini memang jenis manusia yang susah diajar. Mungkin kena bagi mereka lama sikit jadi hamba abdi baru mereka serik agaknya. 22 bulan masih tak buat mereka serik dan jeran.

Sikap Abdul Wahub yang tetap bersabar dengan sikap kurang ajar dan tamak abang-abang besarnya itu menunjukkan sikap yang terpuji walau pun di saat itu dia berkuasa besar untuk membuat keputusan kerana abang-abang besarnya itu masih hamba abdinya ketika itu.

Agaknya jika penulis yang berada di tempat Abdul Wahub yang melihat sikap gelojoh dan tamak Abdul Wahib yang masih tak berubah dan tak sedar dek untung itu mungkin penulis terus membatalkan hasrat untuk menyerahkan semula harta-harta itu kepada Abdul Wahib yang bongkak itu. Biar dia terus jadi hamba abdi.

Namun Abdul Wahub dengan hatinya yang mulia walau pun pernah dianiaya oleh abang-abang besarnya itu namun dia tetap ingin melihat penyatuan keluarganya semula. Dia tetap menyerahkan hak-hak abang-abang besarnya itu.

Namun watak Sadiq Segaraga ketika proses pembahagian harta itu nampak pasrah dan sedar diri. Itu yang sepatutnya.

Memang dalam politik kita memerlukan watak seperti Abdul Wahub walau pun nampak kejam, walau pun pernah dikhianati, tapi tetap memikirkan ke arah penyatuan orang Melayu.

Abdul Wahab, Abdul Wahib, Abdul Wahub dan Sadiq Segaraga kena lupakan semua sejarah silam. Kena bersepakat dan bertolak ansur supaya keluarga ini disatukan dan hidup dalam harmoni. Kalau tak boleh selesai juga kena lelong semulalah semua lepas PRU15. Hahaha!!

Penulis adalah seorang wartawan dan penganalisis politik

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo