KUALA LUMPUR – Dakwaan Ahli DAP kononnya parti itu masih lagi cauvinis dan hanya memberi kelebihan kepada kaum Cina berbanding kaum lain terus dipersoalkan.
Soalan itu ditanya oleh Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran susulan kenyataan terbaharu Ketua Wanita DAP Klang, Puspaneela Suppiah yang mendakwa partinya tidak memberi peluang kepadanya.
“Betul ke? Tak mungkinlah Tun M dah kata Guan Eng dan Kit Siang tidak lagi ekstremis sekarang,” soalnya dalam nada sinis.
Pushpaneela merupakan isteri kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan.
Dalam tulisannya, Puspaneela memberitahu, beliau tidak akan bertanding lagi pada Konvensyen DAP Selangor yang akan diadakan pada 6 Jun nanti.
“Kawan-kawan sekalian, pada Konvensyen DAP Selangor saya tidak akan bertanding, saya enggan walaupun ada pencalonan demi pencalonan.
“Ini kerana saya adalah wanita berbangsa India, pastinya saya akan dipermainkan oleh Cina dalam DAP ini.
“Saya sudah bosan dan tidak sanggup terima benda mengarut ini. Benarlah kata saudara Ronnie Liu, DAP adalah parti Cina. Orang seperti saya yang telah banyak berkorban untuk parti serta kerja keras tidak ada apa-apa harapan untuk diberikan peluang berkhidmat untuk rakyat.
“Saya sudah berkhidmat sebagai Ketua Wanita Klang selama enam tahun namun tidak pernah langsung diberikan apa-apa peluang untuk berkhidmat untuk rakyat,” tulis Pushpaneela.
Sebelum ini, Ronnie yang juga ADUN Sg Pelek pernah mendakwa DAP tidak boleh dibataskan hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dan tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik mereka.
Ronnie yang juga Ahli Majlis Tertinggi DAP (CEC) berkata, DAP perlu bekerjasama dengan parti-parti Melayu lain tetapi tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan diri sebagai parti bukan Cina. -MalaysiaGazette
No comments
Post a Comment