Kuala Lumpur: Usahawan dan peniaga di negara ini perlu segera beralih kepada ekonomi digital dan memanfaatkan pelbagai inisiatif yang dirangka kerajaan melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, disebabkan oleh keterbatasan pergerakan susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka perniagaan dalam talian menjadi semakin penting kebelakangan ini.
Katanya, usahawan perlu mengorak langkah merebut peluang yang disediakan melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia bagi mengembangkan perniagaan masing-masing, terutama usahawan muda.
"Saya sifatkan teknologi sebagai satu perisai kepada 'tsunami ekonomi' yang mana ia benar-benar boleh menjadi perisai sekiranya rakyat Malaysia khususnya usahawan berjaya menggunakan kekuatan dan peluang dalam teknologi itu sendiri dalam mengembangkan perniagaan masing-masing khususnya ketika era pandemik ini.
"Sekiranya usahawan tidak menggunakan teknologi, ia bakal menjadi ancaman kepada usahawan itu untuk mengembangkan perniagaan mereka.
"Lihat saja bagaimana teknologi memberikan kesan kepada pendapatan pemandu teksi dengan pengenalan perkhidmatan e-hailing di Malaysia.
"Teknologi bakal memberikan ancaman kepada lebih banyak usahawan dan peniaga pada masa akan datang dan teknologi juga bakal mencetuskan gelombang tsunami ekonomi kepada mereka yang tidak memanfaatkan kekuatan dan kelebihannya," katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, tsunami ekonomi hanya boleh diredakan melalui penggunaan semaksimum mungkin teknologi sebagaimana yang dimanfaatkan Alibaba dan JD.com.
Beliau berkata, langkah susulan kerajaan melalui pengenalan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia sekurang-kurangnya dalam jangka masa panjang membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang ketika disasar antara 6.5 hingga 7.5 peratus bagi 2021, selain inisiatif ini mampu untuk mengurangkan kadar pengangguran negara.
Anuar berkata, dengan mengambil contoh penjualan sehari iaitu pada 11.11.2020, dua gergasi e-dagang di China, Alibaba dan JD.com berjaya membuat transaksi penjualan bersama bernilai AS$115 bilion iaitu sekitar RM474.15 bilion di platform e-dagang masing-masing.
"Yang lebih mengejutkan adalah angka jualan AliBaba semasa pandemik Covid-19 pada 11.11.2020 jauh lebih tinggi iaitu hampir dua kali ganda, berbanding transaksi penjualan sebelum terjadinya pandemik.
"Sebagai perbandingan, jumlah jualan Alibaba dan JD.com sehari iaitu pada 11.11.2020 adalah jauh lebih tinggi daripada keseluruhan Belanjawan Negara bagi 2021 iaitu RM322.5 bilion.
"Justeru, melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia ini kita harapkan lebih ramai usahawan digital bakal dilahirkan yang seterusnya mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara melalui ekonomi digital kerana ia satu inisiatif berimpak tinggi dan perisai kepada tsunami ekonomi yang sedang menghampiri kita tanpa disedari," katanya.
https://www.hmetro.com.my/bisnes/2021/04/696439/beralih-kepada-ekonomi-digital
https://www.hmetro.com.my/bisnes/2021/04/696439/beralih-kepada-ekonomi-digital
No comments
Post a Comment