NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Singapura Tarik Balik Telur Malaysia Kali Kedua

20 MAC: Singapura mengarahkan beberapa pengimport untuk menarik balik telur dari Malaysia, selepas mengesan adanya pencemaran Salmonella Enteritidis (SE) dalam produk terbabit.

Arahan tindakan itu dikeluarkan Agensi Makanan Singapura (SFA) ke atas produk telur Linggi Agriculture, sekali gus menyaksikan ini penarikan kedua telur dari ladang Malaysia dalam masa seminggu.

Menurut laporan berita CNA, pada 12 Mac lalu, Singapura mengumumkan penarikan telur dari Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram, Malaysia.

Sejak itu, pihak berkuasa Malaysia melancarkan siasatan terhadap syarikat terbabit.

Menurut satu kenyataan, semalam, SFA memaklumkan ladang Linggi Agriculture digantung operasi dan tindakan itu akan ditarik balik hanya selepas pengurusan ladang berkenaan memperbaiki masalah pencemaran Salmonella Enteritidis.

“Telur terjejas ini mempunyai kod “CEM014” yang tertera pada kulitnya.

“Pengimportnya adalah An Hong Egg Supplies, Chuan Huat Poultry Farm Pte Ltd, Dasoon Pte Ltd dan FE Supply Pte Ltd.

“Orang ramai yang sudah membeli telur terbabit disarankan untuk memasaknya dengan betul sebelum dimakan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, disebabkan SE boleh terdapat di dalam telur dan kulit telur, mereka yang berasa tidak sihat selepas memakan telur terbabit, perlu mendapatkan rawatan perubatan.

Salmonella Enteritidis, katanya, boleh terdapat di dalam telur dan kulit telur.

Namun, kata kenyataan itu, memandangkan SE dapat dimusnahkan melalui haba, telur selamat dimakan jika dimasak sempurna.

Bakteria, katanya, mampu hidup di dalam telur mentah dan tidak dimasak betul yang berisiko menyebabkan penyakit bawaan makanan melalui beberapa gejala, termasuk cirit-birit, sakit perut, demam, mual serta muntah.

“Walaupun jangkitan SE biasanya reda dalam masa seminggu dalam kalangan kebanyakan orang, masalah ini boleh menyebabkan jangkitan serius pada kumpulan rentan, seperti warga emas, anak kecil dan mereka yang lemah sistem imun.

“Bagi mengurangkan risiko jangkitan, pengguna perlu memastikan telur dimasak sehingga putih telur dan kuning telur pekat, selain mengamalkan teknik kebersihan yang betul untuk mengelakkan pencemaran bersama makanan lain,” katanya.

Sumber: http://www.pnbbcportal.com/2021/03/20/singapura-tarik-balik-telur-malaysia-kali-kedua-dalam-seminggu

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo