NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Setelah 63 Tahun Merdeka Kita Masih Gagal Dalam Perpaduan



Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah, UiTM
Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, UniSZA

Agak menghairankan, negara ini telah merdeka sejak enam dekad lalu, masih lagi belum mencapai matlamat akhir perpaduan, sehingga terpaksa membentangkan sekali lagi Rangka Tindakan (blue print) Perpaduan Negara 2021-2030. Sedangkan matlamat akhir perpaduan adalah mewujudkan satu identiti nasional iaitu satu bahasa, satu bangsa dan satu budaya.

Tetapi sehingga kini masyarakat negara ini masih berada dalam bentuk segregasi berkonsepkan integrasi. Dalam makna, Dasar Sosial Negara dan Dasar Perpaduan Negara gagal melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai sifat jati diri negara ini. Masih ramai rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu dan memahami budaya teras jati negara ini.

Kenapa perlu wujudkan perpaduan dalam kepelbagaian yang masih membawa naratif yang lama dan akhirnya rakyat negara ini masih berada dalam takuk lama. Kepelbagaian tidak akan menyatukan masyarakat negara ini. Sebaliknya akan melahirkan satu masyarakat yang lebih terbahagi mengikut kehendak naluri agenda pihak tertentu.

Seterusnya akan membawa kepada pluralisma dan liberalism dalam masyarakat negara ini. Apabila membicarakan perpaduan tanpa menyentuh keutamaan ketertinggian Islam sebagai satu elemen penting dalam penerapan identiti nasional negara ini.

Maka, akhirnya negara ini akan terjebak dalam kancah gejala sosial selama berdekad tanpa sebarang penyelesaian muktamad. Lihatlah permasalahan ketagihan dadah, arak dan judi, dimanakah penyelesaiannya? Lihatlah juga kepada sekolah, berapa ramai anak-anak bukan Melayu sanggup bersekolah di sekolah kebangsaan?

Lihatlah juga aspek adab yang semakin longgar dalam kehidupan anak-anak muda. Perpaduan tidak akan dicapai tanpa ada jalan konkrit penyelesaian. Sepatutnya kewujudan satu aliran persekolahan adalah langkah utama dalam proses penyatuan dalam perpaduan negara ini. Bukan memainkan retorik satu rangka tanpa ada tindakan penyelesaian muktamad.

Lebih menyedihkan perpaduan negara ini mengambil konteks paradigma barat tanpa melihat untuk mewujudkan satu acuan identiti tersendiri. Jika negara-negara Asean boleh merangka satu tindakan muktamad dalam penyelesaian penyatuan dalam perpaduan tanpa mengambil konteks Barat. Kenapa di negara ini masih berpemikiran penjajah untuk membahagikan masyarakat dalam kepelbagaian dalam integrasi yang amat lemah?

Pendekatan ini sememangnya disukai oleh pihak yang anti dominasi Melayu dan Islam di negara ini. Ini adalah kerana isu agama dan kaum akan dimainkan setiap kali menjelang Pilihanraya Umum dalam pengertian demokrasi negara ini.

Jika kita masih mengamalkan takuk lama perpaduan dalam kepelbagaian, hasilnya tetap sama walaupun majoriti negara ini adalah Bumiputera yang merupakan 70 peratus atau 80 peratus atau 90 peratus penduduk negara ini. Terlalu lemah bagi sebuah masyarakat majoriti yang sentiasa tunduk dan akur kepada kehendak minoriti supaya tidak mewujudkan identiti Islam dan Melayu sebagai teras jati diri negara ini.

Konsep kepelbagaian hatta di Amerika dan Eropah sekalipun, kaum kulit putih masih menjadi teras identiti jati diri negara mereka. Malahan kaum minoriti di Amerika dan Eropah akur dan tunduk kepada identiti Kristian dan budaya kaum kulit putih. Cuba lihat benar atau tidak penulisan Jawi ditentang oleh kaum minoriti negara ini.

Bukankah tulisan Jawi adalah asas kepada tulisan Bahasa Rumi atau Bahasa Malaysia negara ini. Lihat pula semua iklan dan tayangan drama atau filem yang berkait dengan kaum minoriti negara ini masih menggunakan bahasa bukan Bahasa Melayu. Amat menyedihkan apabila warga asing Bangladesh lebih mahir dan pandai berbahasa Malaysia berbanding rakyat bukan Melayu negara ini.

Di manakah konsep jati diri negara ini, jika masih ada yang menafikan kewujudan hakikat Melayu dan Islam adalah budaya teras negara ini? Disebabkan penafian ini, maka tidak menghairankan terdapat sekelompok masyarakat negara ini mengasingkan diri mereka daripada aliran nasional negara ini. Mereka mencipta kehidupan mereka tersendiri dengan budaya tersendiri yang menafikan budaya teras negara ini. Sebaliknya kita masih terlalu bertolak ansur sehinggakan kita tertolak keluar daripada agenda kelompok masyarakat yang terasing ini. Adakah ini masih ingin menggunakan kepelbagaian dalam konteks perpaduan?

Ramai tidak sedar bahawa negara pada hari ini sudah wujud beberapa kelompok masyarakat yang terasing daripada aliran nasional. Malahan kelompok terasing ini turut mempunyai pengaruh dan kuasa ke atas agenda nasional negara ini. Yang akhirnya, apabila digaulkan bersama politik maka akan berlakulah ahli-ahli politik tertentu yang tunduk akan kemahuan kelompok terasing ini.

Jika ini berterusan selama enam dekad dan seterusnya, jawapannya ialah kita gagal dalam perpaduan. Kita gagal kerana tidak memahami ketegasan dalam konsep perpaduan. Kita masih berada dalam zon selesa apabila membicarakan perpaduan dalam kepelbagaian tanpa melihat kejadian-kejadian yang berlaku disekeliling kita.

Isu perpaduan perlu ditegaskan dan diambil tindakan muktamad tanpa toleransi. Tetapi pemikiran kita yang masih dijajah oleh Barat. Maka kita terlalu bertolak ansur dan semakin hari kita tertolak sehingga akur kepada kelompok-kelompok yang ingin terasing daripada identiti budaya teras negara ini.

Maka tidak menghairankan ada bangsa yang begitu melampau dalam mempertahankan identiti etnik mereka sehingga terlupa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sebaliknya kita kini ingin langit bukan bumi kita dijunjung walaupun kaki kita masih berpijak di bumi ini. Inilah sifat ultra kiasu yang selalu diperkatakan.

Adakah mereka mengaku mereka anak watan negara ini dan akur pada budaya kewatanan negara ini dengan asimilasi budaya? Selagi tidak berlakunya asimilasi secara total dan masih meneruskan integrasi dalam konteks segregasi, selagi itulah tidak akan berjaya dasar perpaduan kepelbagaian negara ini. Apa yang akan berlaku seterusnya ialah ketegangan dan pertikaian konteks budaya, pemikiran dan emosi akan berterusan disebabkan wujudnya perbezaan bukan persamaan di negara ini.

Justeru, sudah sampai masa kita merubah negara ini dalam konteks asimilasi, bukan terlalu berkhayal dengan perpaduan dalam kepelbagaian.

Realiti yang ada, bangsa majoriti negara ini telah mengubah untuk akur dengan kehendak minoriti negara ini dalam konteks kepelbagaian. Mungkin kita tidak sedar bahawa kita berkulit sawo matang bukan berkulit putih!


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo