NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selamat bersidang UMNO, ke mana arah tuju parti?

Oleh Ahmad Abd Hamid

SABTU 27 Mac Perhimpunan Agung UMNO (PAU) membuka tirai sehingga 28 Mac setelah PAU yang dijadualkan pada 30 dan 31 Januari ditangguhkan lantaran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perhimpunan kali ini dijangka diadakan secara bersemuka dan maya dengan pematuhan rapi kepada Operasi Prosedur Standard (SOP). Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah memberi lampu hijau bagi UMNO mengadakan perhimpunan.

Ada yang berpendapat PAU kali ini ditunggu-tunggu dan mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan ahli-ahli parti sendiri tetapi juga orang ramai dan pemerhati politik tanah air. Nampak bagai ada sesuatu yang istimewa dengan perhimpunan kali ini.

Mungkin kerana ramai minat ingin tahu apakah pendirian sebenar UMNO berhubung kerjasama dengan parti Bersatu, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Isu ini kini hangat diperkatakan. Justeru ia bakal menjadi topik utama untuk dibahas dan diputuskan dalam PAU.

Sekalipun pucuk pimpinan telah menyatakan akan memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU-15, dan pendirian ini dikatakan disokong oleh majoriti bahagian UMNO, ada pandangan tidak selari di kalangan pemimpin dan bahagian.

Perlis dan Sabah misalnya secara terbuka mahu kerjasama diteruskan. Begitu juga dalam kalangan beberapa pemimpin parti yang lain. Kerana itu pendirian UMNO dijangka dimuktamadkan dalam PAU kali ini.

Para perwakilan hendaklah berani bersuara demi kebaikan parti dan tidak seharusnya hanya akur kepada apa yang dibentangkan di hadapan mereka.

Sesi perbahasan dijangka hangat kerana wujudnya pendirian yang berbeza ini. Yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu yakin UMNO boleh berjaya berseorangan dan kembali mendapat kuasa pasca PRU-15.

Mereka yang mahu terus bekerjasama pula menganggap kerjasama berterusan dengan Bersatu akan terus menjamin survival parti di samping mengukuhkan kerjasama parti-parti berteras Melayu. Ini sejajar dengan kedudukan mereka yang sama-sama membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Yang mungkin lebih menghangatkan suasana ialah sebelum ini ada suara dalam UMNO yang menggesa presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berundur dan memberi tumpuan kepada kes mahkamahnya serta melepaskan jawatan kepada golongan pelapis.

Suara-suara ini juga mungkin akan dibawa ke dalam PAU. Gesaan ini bukan datang daripada ahli biasa, tetapi ketua pemuda bahagian, malah ketua bahagian. Sekali pun jumlahnya mungkin kecil tetapi kerana ia sudah disuarakan oleh pemimpin bahagian, impaknya tentu ada.

Namun mungkin juga suara segelintir kelompok ini akan ditenggelamkan oleh suara lebih nyaring para penyokong yang mahu UMNO memutuskan hubungan dengan Bersatu serta mahu Zahid terus memegang tampuk kuasa.

Sebagai sebuah parti politik yang matang dan berdekad menerajui negara, ramai percaya UMNO boleh melalui kemelut ini dengan mengambil keputusan sebijak mungkin demi survival parti.

Yang penting difikirkan dengan mendalam ialah dalam landskap politik yang berubah pasca PRU-14, adakah UMNO mampu dan bersedia menyesuaikan diri dengan realiti politik semasa? Persoalan utama yang mesti dihuraikan ialah mampukah UMNO bersendirian dan akan lebih cemerlang bersendirian menghadapi gelora politik tanah air?

Atau adakah ia patut terus bekerjasama dengan parti lain seperti sekarang dalam PN demi terus relevan? Namun jika melihat UMNO sendiri sering menyerang kerajaan PN, faktor kerjasama masa kini tidak lebih hanya lakonan, sekadar menunggu drama berakhir.

Hala tuju UMNO perlu difikirkan dengan serius bukan sahaja oleh barisan kepimpinan parti tetapi oleh ahli di peringkat akar umbi yang selama ini menjadi pendokong kuat parti. Para perwakilan hendaklah berani bersuara demi kebaikan parti dan tidak seharusnya hanya akur kepada apa yang dibentangkan di hadapan mereka.

Bersuara bukan untuk menentang parti atau pemimpin yang ada, tetapi melakukan yang terbaik untuk parti. Dalam proses ini tegur menegur seharusnya dianggap untuk kesejahteraan parti, bukan untuk mencabar sesiapa. Terimalah ini sebagai proses demokrasi dalam parti.

Justeru jangan ketepikan atau abaikan kelompok akar umbi yang merupakan pendokong kuat parti. Jangan anggap remeh pandangan mereka. Ingatlah sebenarnya kelompok ini adalah denyut nadi dan suara hati akar umbi parti. Mengabaikan mereka boleh membawa padah.

Selamat bersidang UMNO. Semoga PAU berjalan lancar dan membuahkan resolusi yang menggambarkan kematangan parti serta mengutamakan perpaduan, khususnya dalam kalangan parti-parti berteras Melayu. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

-BebasNews

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo