KUALA LUMPUR: Kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, minggu lalu, bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan dan buku agama mereka.
Notis rayuan difailkan pagi tadi di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi, dengan salinan diserahkan kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan serta peguam yang mewakili Jill Ireland.
Putrajaya sebelum ini diberi tempoh 30 hari untuk membuat keputusan berhubung tindakan selanjutnya dalam kes itu.
Peguam Cara Negara Abdul Razak Musa mengesahkan pemfailan itu kepada FMT.
Rabu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Noor Bee Arifin memutuskan arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertarikh 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baituallah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Menurutnya, arahan itu dikeluarkan secara salah dan melampaui tujuan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Undang-undang itu hanya untuk menangani (isu) penerbitan yang tidak diingini. Ia bukan undang-undang umum untuk menangani ketenteraman awam dan moral,” katanya.
Noor Bee, yang kini hakim Mahkamah Rayuan berkata, susulan itu arahan melarang bukan Muslim menggunakan empat perkataan itu diketepikan.
Katanya, Ireland mempunyai hak mengikut perlembagaan untuk menggunakan dan mengimport sebarang penerbitan untuk tujuan pendidikan dan amalan agamanya tanpa diskriminasi.
Ireland, wanita Kristian Melanau, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2008 tetapi cabarannya dari segi perlembagaan itu hanya didengar pada 2017.
Penghakiman itu ditangguhkan 12 kali untuk memberi peluang kepada pihak terbabit mendapatkan penyelesaian di luar mahkamah berhubung isu penggunaan kalimah “Allah” bagi penduduk Sabah dan Sarawak, serta dalam bahan terbitan.
Pada 2008, pegawai kastam di KLIA merampas lapan cakera padat (CD) daripada Ireland bertajuk “Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah”, “Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah” dan “Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah”.
Ireland pada mulanya memfailkan tuntutan itu untuk mendapatkan semula CD berkenaan dengan turut mengemukakan permohonan relif lain.
Pada 2014, Mahkamah Tinggi mengarahkan KDN memulangkan CD berkenaan kepadanya, tetapi tidak menangani isu perlembagaan kerana terikat dengan satu penghakiman Mahkamah Persekutuan.
Pada tahun berikutnya, Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi 2014 itu, tetapi mengarahkannya mendengar permohonan Ireland untuk deklarasi bahawa hak perlembagaannya untuk beragama telah dilanggar dengan larangan atau sekatan terhadap pengimportan bahan pendidikan itu.
No comments
Post a Comment