NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU15: Muhyiddin sukar pertahan kerusi PM




Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 20 Rejab 1442H, Khamis – Melihat kepada senario politik negara dan kecelaruan dasar kerajaan, agak sukar untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Bukan hanya disebabkan ketidaktentuan polisi kerajaan ketika ini, namun keupayaan barisan Kabinet dan jemaah menteri Muhyiddin juga diragui.

Kepimpinan Perdana Menteri juga dilihat masih goyah, seolah-olah tiada hala tuju yang jelas untuk kesejahteraan rakyat bagi jangka panjang.

Naib Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA), AD Satiman berkata, barisan Kabinet sekarang sebenarnya sama seperti Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Katanya, ada beberapa menteri, timbalan menteri yang amat diragui kebolehan mereka memimpin kementerian.

“Kementerian yang kritikal hari ini adalah kesihatan, pendidikan, kewangan dan sumber manusia. Namun, menteri dan timbalan di posisi ini sering dikritik dan hilang.

“Dasar dan hala tuju tindakan juga amat samar. Persoalannya, layakkah mereka? Jika tidak, untuk apa gaji besar?,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Malah, kegagalan Parlimen berfungsi dengan sempurna juga adalah antara punca ‘tempias’ kepada kredibiliti Muhyiddin, katanya.

“Saya bukan mahu mempersoalkan Ordinan Darurat, tetapi perundangan negara dan semak imbang perjalanan kuasa eksekutif negara tidak berjalan.

“Ini menatijahkan perkara seperti mitigasi ekonomi dan bantuan ketika PKP 2.0 tidak berjalan atau tidak menyelesaikan keperluan rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan, keperluan Parlimen bersidang supaa kebajikan rakyat dapat ditangani secara tuntas.

“Sebagai contoh, bantuan moratorium adalah amat diperlukan rakyat, namun ini tiada.

“Apatah lagi realiti pekerjaan terutama industri gig dan industri perkhidmatan,” katanya.

Lebih membimbangkan, apabila Muhyiddin dan ‘team’ kini masih berpolitiking dengan melobi Ahli Parlimen pembangkang supaya menyertai PN, selain isu hubungan ‘dingin’ antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO yang tidak berkesudahan.

“Saya lihat idea asas penubuhan kerajaan PN beliau untuk membela isu rakyat dan isu Melayu muslim hilang entah ke mana.

“Nasihat saya secara ikhlas, kepada yang berkedudukan dan berkuasa dalam kerajaan segera buat kerja dan jangan abaikan rakyat. Fokus selamatkan rakyat dan negara,” katanya.

Sumber: https://ismaweb.net/2021/03/04/pru15-muhyiddin-sukar-pertahan-kerusi-pm/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo