MARANG: Senario parti-parti politik negara yang semakin berkecamuk dan tidak menentu, PAS masih selamat dan semakin kuat hari ini.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak akan mengadakan kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana telah ada pengalaman lama dengan parti-parti tersebut.
Ini kerana, kata beliau, PAS mahu selamatkan negara dan rakyat bukan mahu menyelamatkan pemimpin serta parti tertentu.
“Kita (PAS) sudah kerjasama dahulu. (Sekarang) Tak ada, tak ada…kita (PAS) sudah berapa tahun (dengan PKR). Kita bukan nak selamatkan ‘orang’ (pemimpin), nak selamatkan parti…(kita) nak selamatkan negara.
“Kerjasama untuk nak selamatkan individu, selamatkan kumpulan (parti), tak ada. Kita (PAS) nak selamatkan negara, selamatkan rakyat,” tegasnya.
Beliau berkata demikian menjawab persoalan wartawan jika PKR hendak bekerjasama dengan PAS, sebagaimana cadangan kerjasama itu dengan Umno, selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.
Namun, kata Ahli Parlimen Marang itu terpulang kepada mana-mana parti boleh mengadakan kerjasama politik dalam negara demokrasi, asalkan tidak dengan parti Komunis.
“Itu terpulang kepada dia (PKR), negara demokrasi boleh kerjasama asal bukan dengan parti Komunis sudahlah. Parti yang berdaftar, dia boleh dengan sesiapa pun..
“PKR, DAP…itu kita (PAS) sudah ada pengalaman sejak tahun 1998, 1999 hingga (terputus), sudah 20 tahun lebih, cukuplah. Jadi, biar dia (PKR) selesai dahululah, dia ‘lemas’,” ujarnya.
Sekaliknya, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, parti PAS masih dalam keadaan selamat dan makin kuat sekarang dengan kerjasama baharu.
“Kita (PAS) dalam keadaan yang selamat dan semakin hari, makin kuat. Kerjasama baharu kita ialah dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), dengan Umno (dan) termasuklah dengan rakan-rakan parti di Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak.
“Juga termasuk dengan parti-parti yang bergabung dengan rakan kita di Sabah dan Sarawak,” jelasnya.
Pada 16 Mac lalu, Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, tidak menolak kemungkinan parti itu menjalinkan kerjasama dengan Umno yang diyakininya menjadi kenyataan jika Umno berpisah dengan parti Bersatu.
Ini berikutan, tindakan Umno dilaporkan telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. – HARAKAHDAILY 19/3/2021
https://harakahdaily.net/index.php/2021/03/19/pas-selamat-dan-makin-kuat-presiden-pas/
https://harakahdaily.net/index.php/2021/03/19/pas-selamat-dan-makin-kuat-presiden-pas/
No comments
Post a Comment