Kuala Lumpur: PETRONAS mencatatkan kerugian bersih RM21 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding untung bersih RM40.5 bilion tahun sebelumnya.
Namun, jika tidak mengambil kira rosot nilai, syarikat minyak dan gas nasional itu mencatatkan untung bersih RM10.5 bilion bagi tahun kewangan 2020, berkurangan 78 peratus berbanding RM48.8 bilion tahun sebelumnya.
Ia juga mencatatkan pendapatan yang rendah berjumlah RM178.7 bilion berbanding RM240.3 bilion tahun sebelumnya dengan sebahagian besarnya berikutan kesan penurunan mendadak harga minyak mentah, yang mana memperlihatkan harga realisasi yang lebih rendah untuk semua produk.
Ia ditambah lagi dengan gangguan permintaan yang menyebabkan jumlah penjualan yang lebih rendah daripada gas diproses, produk petroleum dan gas asli cecair (LNG).
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2020, PETRONAS mencatatkan untung bersih sebelum rosot nilai RM200 juta berbanding RM9.4 bilion dalam suku sama tahun sebelumnya berikutan pendapatan yang rendah dan perbelanjaan bersih lain yang tinggi.
Pada suku itu, rosot nilai terhadap aset berjumlah RM1.3 bilion, sekali gus menjadikan kerugian bersih RM1.1 bilion berbanding keuntungan bersih RM4.1 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.
Menjelaskan perkara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik berkata, tahun 2020 terbukti menjadi tahun yang luar biasa dengan impak pandemik Covid-19 dan kegagalan pakatan anggota OPEC dan sekutunya untuk membuat kesimpulan tepat mengenai kesepakatan pengeluaran minyak dan ketidakseimbangan pasaran tenaga.
Perkara itu berterusan memberi kesan besar kepada tenaga global permintaan dan harga minyak.
Tengku Taufik berkata, walaupun menghadapi persekitaran mencabar itu, syarikat minyak dan gas nasional itu bertindak pantas dengan melaksanakan usaha pengurangan risiko untuk ia terus kekal berdaya tahan.
Katanya, PETRONAS kekal fokus terhadap kecekapan operasi, kecemerlangan komersial dan disiplin fiskal merentasi kesemua rantaian nilainya.
"PETRONAS sudah berdepan tempoh paling mencabar dalam sejarah kumpulan. Menuju ke depan, kami menjangkakan industri minyak dan gas masih akan dipengaruhi oleh ketidakpastian dan kami akan terus kekal berhati-hati," katanya pada sidang media secara maya mengumumkan keputusan kewangan suku keempat dan keseluruhan tahun kewangan 2020, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PETRONAS, Liza Mustapha.
No comments
Post a Comment