Seperti sudah dijangka, akan ada pihak yang membantah tindakan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut agama Kristian bagi tujuan pendidikan.
Perkara itu dapat dilihat apabila sekumpulan wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak – yang mewakili pihak kerajaan mahupun pembangkang – meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menarik balik rayuan berkenaan.
Memetik laporan media tempatan, 50 wakil rakyat dan empat ahli Dewan Negara itu berkata, dengan berbuat demikian, ia akan dapat menamatkan polemik yang dihadapi oleh masyarakat di Sabah, Sarawak serta Orang Asli yang sudah berlanjutan lebih 35 tahun.
Mereka juga meminta semua parti politik untuk tidak menangguk di air keruh dan mencari keuntungan politik dalam isu berkenaan.
Meluahkan rasa terkilan, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, wakil-wakil rakyat beragama Islam dari blok kerajaan mahupun pembangkang masih tidak sepakat dalam isu berkenaan.
Lebih menyedihkan lagi ramai antara mereka hanya sibuk sindir-menyindir, walhal telah beriltizam untuk berjuang menjaga kesucian agama Islam.
“Malah sepatutnya seorang muslim akan sensitif dalam isu ini kerana itulah kayu ukur kepada sensitiviti iman kita.
“Apatah lagi wakil rakyat yang diberikan kuasa, walaupun hanya seorang wakil rakyat biasa tiada jawatan menteri atau exco.
“Hatta wakil rakyat pembangkang pun ada kuasa yang boleh dimanfaatkan untuk agama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau tidak pasti sama ada gesaan disuarakan wakil-wakil rakyat itu petanda bahawa pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sudah hampir.
Ini kerana katanya, kes Kalimah Allah 1.0 dahulu pun tercetus ketika sekitar hampir-hampir pilihan raya juga.
“Apa-apa pun, Insya-Allah, PEMBELA akan mencari jalan untuk memujuk wakil-wakil rakyat muslim kita untuk bersolidariti dan bersuara tegas dalam isu ini.
“Kita tahu, kuasa kita bukan sebesar kuasa yang ada pada ahli politik. Tetapi jika bukan kita, siapa lagi?,” katanya.
https://mykmu.net/2021/03/17/pembela-rayu-wakil-rakyat-muslim-bersatu-kes-kalimah-allah/
https://mykmu.net/2021/03/17/pembela-rayu-wakil-rakyat-muslim-bersatu-kes-kalimah-allah/
No comments
Post a Comment