NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kos haji 2021 naik 9 peratus kepada RM25,000



KUALA LUMPUR: Kos mengerjakan haji tahun ini, meningkat kira-kira sembilan peratus, daripada RM22,900 kepada sekurang-kurangnya RM25,000 bagi seorang jemaah haji.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman, berkata kadar bayaran yang perlu ditanggung jemaah haji negara masih belum ditetapkan.

Ketika ini, bayaran yang perlu ditanggung jemaah haji negara adalah RM9,980 dan tidak pernah berubah sejak 2009, manakala baki RM12,920 ditanggung TH.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman pada sidang media mengenai Pra Operasi Musim Haji 1442H/2021M di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin

"Pelaksanaan haji tahun ini agak berbeza berbanding sebelum ini. Kos haji pada 2019 dan 2020 adalah sebanyak RM22,900.

"Namun, untuk tahun ini ada peningkatan. Selepas mengambil kira beberapa faktor, kos menunaikan haji tahun ini meningkat kepada RM25,000.


"Namun, peningkatan ini belum mengambil kira pelaksanaan peraturan baharu dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19 dan sebagainya yang masih belum diketahui, dan perkara ini mungkin akan memberi impak kepada kos menunaikan haji," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas punca peningkatan kos itu, Syed Saleh berkata, ia mengambil kira pengumuman kerajaan Arab Saudi mengenai peningkatan cukai nilai tambahan daripada lima peratus kepada 15 peratus pada Julai tahun lalu, selain caj tambahan visa sebanyak 300 riyal (RM350).

Ditanya anggaran pertambahan kos haji jika peraturan dan SOP berkaitan COVID-19 diumumkan kerajaan Arab Saudi, Syed Saleh berkata kadar itu hanya boleh diketahui selepas ia diumumkan.

Berhubung kadar bayaran yang perlu ditanggung jemaah haji susulan peningkatan kos mengerjakan haji, Syed Saleh memaklumkan, ia masih belum ditetapkan.

Syed Saleh menegaskan, buat masa ini, kerajaan dan TH masih menunggu pengumuman rasmi berhubung kebenaran pelaksaan haji tahun ini daripada kerajaan Arab Saudi.

"Sehingga hari ini, belum ada pengumuman rasmi berkenaan pelaksanan haji tahun ini, sama ada jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan, jumlah jemaah yang dibenarkan dan kriteria pemilihan jemaah haji," katanya.

Syed Saleh berkata, 31,600 bakal jemaah haji yang sudah menerima surat tawaran tahun lalu, diberi keutamaan untuk menunaikan ibadah itu tahun ini sekiranya Arab Saudi mengumumkan kebenaran itu.

"Sekiranya jumlah jemaah luar negara dihadkan pada jumlah tertentu, maka baki yang tidak dapat menunaikan haji tahun ini akan diberi keutamaan untum tahun depan," katanya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo