1. Kenapa Korea Utara begitu agresif dan marah sekali dengan keputusan mahkamah kita hari ini? Hinggakan mereka bertindak drastik memutuskan hubungan diplomatik dengan kita dan mengecam keputusan mahkamah Malaysia untuk mengekstradisi seorang warga mereka ke Amerika sebagai satu ‘jenayah’ dan ‘tidak boleh dimaafkan’. Baca huraian jawapannya di bawah.
2. Krisis ini berpunca kerana realiti ekonomi politik Korea Utara yang terlalu kritikal susulan sekatan PBB ke atas usaha Pyongyang membangunkan senjata nuklear. Berbeza dengan China, Vietnam, mahu pun Cuba, sistem ekonomi politik Komunis Korea Utara terlalu tertutup, tidak mesra modal asing, dan menjadikan keluarga Kim sebagai dinasti.
3. Maka Kim Jong Un sebagai pewaris generasi ketiga terdesak untuk mengekalkan pengaruh dalam persekitaran para jeneral yang lebih senior; selain daripada pembunuhan politik, wang dan sumber-sumber menjadi alat penting untuk beliau mengekalkan pengaruh dan kuasa.
4. Dalam keadaan sekatan PBB yang cukup membebankan rakyat serta pemimpin Korea Utara, rejim Kim memerlukan dana ‘pasaran gelap’ dari luar negara sebagai sumber kelangsungan rejim beliau. Sebarang tindakan ke atas ejen beliau – rakyat Korea Utara – yang terlibat dengan ‘penggubahan wang’ serta ‘penyeludupan barangan mewah’ dari luar negara akan benar-benar memberi kesan kepada kestabilan rejim Kim Jong-un yang bergantung kepada dana sedemikian untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa domestik. Anda boleh tonton filem 'The Spy Gone North' (2018) berdasarkan kisah benar untuk memahami betapa pentingnya modus operandi penggubahan wang serta penyeludupan barangan mewah ini kepada keberlangsungan dinasti Kim di Korea Utara serta peranan China.
5. Disebabkan hal ini, Korea Utara turut menuduh Malaysia sebagai sanggup ‘menawarkan rakyat Korea Utara sebagai korban kepada Amerika Syarikat’ lalu mengumumkan bertindak menutup operasi kedutaan mereka di Malaysia.
6. Hakikatnya, Mahkamah Malaysia membuat keputusan tersebut berdasarkan bukti warga Korea Utara itu iaitu Mun Chol Myong yang menyeludup barangan mewah larangan dari Singapura ke Korea Utara serta penggubahan wang haram yang melanggar sekatan PBB ke atas negara Komunis berkuasa nuklear itu sejak 2008.
7. Korea Utara turut mendakwa Amerika Syarikat sebagai dalang di sebalik kes ini dan mengancam bahawa mereka akan ‘membayar harga yang setimpal’.
8. Sebagai tindak balas, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengeluarkan kenyataan berikut:
Malaysia amat kesal dengan keputusan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Malaysia mengecam keputusan tersebut sebagai tidak ramah, tidak konstruktif serta tidak menghormati semangat saling menghormati dan hubungan baik sesama anggota masyarakat antarabangsa.
Kerajaan akan mengeluarkan perintah untuk semua staf diplomatik dan tanggungan mereka di Kedutaan DPRK di Kuala Lumpur untuk meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam dari hari ini, 19 Mac 2021.
9. Tentulah kita terkilan dengan tindakan tergesa-gesa Korea Utara ini yang tidak menghargai fakta bahawa Malaysia ialah antara negara terawal yang mengiktiraf kewujudan mereka sebagai sebuah negara berdaulat serta memiliki pelbagai kerjasama rapat sejak 1973 lagi.
10. Untuk rekod, Mun telah tinggal di negara kita selama sedekad sebelum ditangkap pada 2019 dan kes ini mengulangi ketegangan hubungan Malaysia-Korea Utara susulan pembunuhan abang tiri Presiden Korea Utara pada 2017 di KLIA iaitu Kim Jong Nam.
11. Perlu diingat, di sebalik segala kritikan Korea Utara kepada Malaysia pada 2017 itu, kita masih membenarkan mereka untuk mengekalkan kedutaan mereka di negara kita dan kita juga tidak bertindak sebarangan kepada rakyat mereka di negara kita.
12. Hal ini berbeza dengan tindakan Pyongyang yang menahan sembilan warga kita dengan tidak membenarkan mereka keluar dari negara tersebut pada Mac 2017. Krisis tersebut berakhir dengan keputusan Korea Utara untuk membenarkan rakyat Malaysia kembali ke tanah air.
13. Sesungguhnya, keputusan tegas yang diambil kerajaan kita hari ini adalah satu tindak balas yang rasional dan wajar kerana ia akan menjadi peringatan kepada ejen-ejen asing lain yang cuba menjadikan negara ini sebagai transit penggubahan wang haram atau penyeludupan yang melanggar sekatan PBB.
14. Korea Utara juga berkemungkinan besar tidak akan melancarkan peluru berpandu nuklear ICBM mereka ke negara kita kerana langkah sedemikian bukan sahaja akan mengasingkan rejim Kim dengan lebih dahsyat daripada komuniti antarabangsa, bahkan bakal membawa kepada tindak balas kuasa besar lain yang turut memiliki kepentingan strategik di negara kita: termasuklah kedua-dua Amerika dan China.
15. Lokasi negara kita yang strategik antara Lautan Hindi, Selat Melaka, serta Laut China Selatan yang membekalkan lebih 80% import tenaga kepada China (belum diambil kira projek mega mereka di sini seperti ECRL), serta dengan kepentingan Indo-Pasifik Amerika Syarikat yang memiliki sekutu rapat Singapura jiran kita, bakal menjamin negara kita terpelihara daripada sebarang serangan ketenteraan Korea Utara, insyaAllah.
***Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.
No comments
Post a Comment