PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu belum membincangkan sama ada ia akan bekerjasama dengan PPBM atau Umno pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), susulan kata dua daripada Umno Kelantan.
Katanya, parti di peringkat negeri akan menunggu PAS Pusat membuat keputusan berhubung perkara itu.
“Kami tak bincang selagi Umno Pusat tak kata apa-apa.
“Kita kekal dengan keadaan ini. Ini kenyataan dari Umno Kelantan. Umno Pusat tak kata apa-apa lagi,” katanya kepada FMT merujuk pengumuman Umno Kelantan memutuskan hubungan dan kerjasama dengan PPBM, dan mahu PAS membuat keputusan “jelas dan segera” sama ada ia akan bersama Umno atau PPBM menghadapi PRU15.
Setiausaha Umno Kelantan, Akbar Salim dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Umno Kelantan semalam, sebagaimana usul yang diluluskan 12 daripada 13 mesyuarat bahagian sebelum ini.
Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, buat masa ini, PAS Kelantan masih bekerjasama dengan Umno dan PPBM seperti yang diputuskan PAS Pusat sebelum ini.
“Nak kata apa, itu pendirian dia (Umno Kelantan). Sekarang ini, PAS Pusat masih kerjasama dengan kedua-dua parti. Dengan Umno kerjasama, dengan PPBM pun kerjasama.
“Itu pendirian kita. Setakat ini, itu saja. Pendirian kita ikut Pusat. Kita di negeri semua ikut pusat. Tiada negeri buat keputusan sendiri,” katanya.
No comments
Post a Comment