Sebaik sahaja kerajaan mengemukakan rayuan mahkamah dalam kes Kalimah Allah 2.0 ini, ada tentangan yang kuat seperti yang dijangka.
Wakil-wakil rakyat DAP, PKR, WARISAN bersama-sama parti-parti lain di Sabah dan Sarawak (termasuk yang menganggotai blok kerajaan PN) bersatu mengecam tindakan kerajaan membuat rayuan mahkamah dalam Kes Kalimah Allah 2.0 dalam satu kenyataan media rasmi.
Saya tidak pasti apakah ini petanda bahawa pilihanraya negeri (PRN) Sarawak sudah hampir kerana kes Kalimah Allah 1.0 dahulu pun tercetus ketika sekitar hampir-hampir pilihanraya juga.
Sebenarnya, saya amat terkilan kerana secara umumnya kita melihat, wakil-wakil rakyat beragama Islam dari blok kerajaan mahupun pembangkang masih tidak sepakat dalam isu ini, dan ramai antara mereka hanya sibuk sindir menyindir sahaja. Padahal semua mereka telah beriltizam untuk berjuang untuk menjaga kesucian agama Islam.
Malah, sepatutnya seorang Muslim akan sensitif dalam isu ini kerana itulah kayu ukur kepada sensitiviti iman kita. Apatah lagi wakil rakyat yang diberikan kuasa, walaupun hanya seorang wakil rakyat biasa tiada jawatan menteri atau exco. Hatta wakil rakyat pembangkang pun ada kuasa yang boleh dimanfaatkan untuk agama.
Apa-apa pun, insyaAllah, PEMBELA akan mencari jalan untuk memujuk wakil-wakil rakyat Muslim kita untuk bersolidariti dan bersuara tegas dalam isu ini.
Kita tahu yang kita tiada kuasa sebesar kuasa yang ada pada ahli politik. Tetapi jika bukan kita, siapa lagi?
Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
16 Mac 2021
No comments
Post a Comment