NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Kalimah Allah: 3 Langkah Segera Yang Wajar Kerajaan Lakukan


1. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Kristian dibenarkan untuk menggunakan kalimah Allah adalah satu keputusan yang amat mengejutkan.

2. Walaupun Mahkamah menetapkan bahawa penerbitan yang menggunakan kalimah Allah itu mesti dicop penafian 'Hanya Untuk Orang Kristian' dan diletakkan lambang salib pada kulit buku, namun masih mendedahkan risiko penyebaran kepada orang Islam sepertimana yang pernah tular 12 tahun dahulu.

3. Pemuda UMNO juga akan memperhalusi alasan penghakiman yang bakal dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi kelak kerana perlu dinilai sama ada keputusan ini dilihat bercanggah atau tidak dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2015 dalam kes KDN vs Roman Catholic Archbishop. Mahkamah tertinggi negara pada ketika itu telah menetapkan bahawa tindakan Kementerian Dalam Negeri yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar The Herald (akhbar Katolik) adalah sah.

4. Malahan berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013 dalam kes yang sama, panel 3 hakim diketuai Tan Sri Apandi Ali telah membuat keputusan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah pada penerbitan Katolik tersebut adalah bagi memelihara kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan mengelakkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat

5. Justeru itu, Pemuda UMNO:

(i) Mendesak Kerajaan Pusat untuk seberapa segera merayu keputusan Mahkamah Tinggi ini. Tindakan paling awal adalah membuat permohonan kepada Mahkamah Rayuan agar keputusan Mahkamah Tinggi tersebut ditangguhkan terlebih dahulu sehingga mahkamah yang lebih tinggi membuat keputusan muktamad.

(ii) Mendesak Kerajaan Pusat agar mengadakan sidang meja bulat sama ada secara maya atau tidak dengan pemegang-pemegang taruh seperti wakil kerajaan negeri, wakil persatuan peguam syariah dan NGO Islam bagi merangka strategi seterusnya. Perlu diingat, majoriti negeri seperti Terengganu, Johor, Pahang, Kelantan dan Kedah sudahpun mempunyai enakmen tersendiri bagi sekatan pengembangan agama bukan Islam. Apakah keputusan Mahkamah Tinggi semalam akan memberi kesan kepada keabsahan enakmen-enakmen tersebut?

(iii) Mendesak Kerajaan Pusat agar menghidupkan semula Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) yang telah ditutup pada zaman Pakatan Harapan. IKSIM telah terbukti berkesan dalam isu-isu ancaman pada kedaulatan Islam termasuk membina jatidiri agama melalui program dan langkah strategik yang diambil. Ketiadaan IKSIM telah menghilangkan elemen semak dan imbang ke atas gerakan-gerakan yang mengancam akidah umat.

6. Ini adalah 3 LANGKAH AWAL yang perlu diambil tindakan segera oleh pihak kerajaan. Pemuda UMNO berharap seluruh umat Islam tanpa mengira ideologi politik harus sepakat dan senada dalam isu yang melibatkan akidah seperti ini.

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo