NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Implikasi pengeluaran wang di bawah i-Sinar tanpa syarat





SAUDARA PENGARANG,

LIMA hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan, kerajaan melancarkan pakej Perlindungan Ekonomi Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion yang mengandungi beberapa penambahbaikan terhadap inisiatif yang terkandung dalam Belanjawan 2021. Selain itu, kerajaan juga mengumumkan pendahuluan RM1,000 bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memohon pengeluaran wang Akaun 1 di bawah Kategori 2.

Namun disebabkan ketidakpuasan sesetengah golongan rakyat menyebabkan Menteri Kewangan mengumumkan pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar.

Statistik KWSP mendapati sebanyak 54 peratus pencarum berumur 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 bagi menampung kehidupan selepas bersara. Hanya 34 peratus akan mencapai tahap simpanan asas sebanyak RM240,000. Tahap simpanan asas ini berdasarkan purata umur penduduk sekitar 75 tahun. Namun ada juga pandangan bahawa tahap simpanan asas ini harus sekali ganda dari jumlah tersebut, menjadikannya RM480,000, sekali gus menyebabkan peratusan pencarum aktif yang mampu mengumpul wang sebanyak itu menjadi lebih kecil.

Selain itu, data menunjukkan bahawa tahap literasi kewangan rakyat masih lagi rendah, sekitar 36 peratus berbanding negara lain seperti Singapura (59 peratus) dan Myanmar (52 peratus). Ini bermakna, jika semua pencarum dibenarkan mengeluarkan wang dari Akaun 1, belum tentu wang yang dikeluarkan itu mampu menyelesaikan masalah kewangan atau meningkatkan taraf hidup kerana mereka boleh tersilap langkah dalam perbelanjaan akibat terpengaruh membeli saham atau berniaga tanpa ilmu. Ini akan menyebabkan mereka akan lagi terdesak untuk mencari sumber wang yang lain dan kemungkinan akan mengeluarkan lebih banyak wang dari akaun KWSP.

Penyelesaian bagi isu ini ialah pihak kerajaan, swasta, badan kebajikan, parti politik dan individu yang berkemampuan mengenalpasti golongan yang terjejas semasa PKP dan memberi bantuan yang benar-benar diperlukan seperti moratorium, bakul makanan, kemudahan internet dan peranti elektronik untuk anak belajar serta modal perniagaan supaya mereka tidak terdesak mengeluarkan wang persaraan.

Ini kerana selain mendepani masalah yang dihadapi kini, masa depan pencarum dan keluarga juga perlu diambil kira. Mohonlah pengeluaran wang jika benar-benar terdesak untuk melunaskan hutang atau komitmen yang tertunggak tetapi sekiranya masih mempunyai lebih pendapatan, makan lebih baik ia tidak diusik kerana dividen pada setiap tahun tidak mengecewakan.

PROF. MADYA DR. AHMED RAZMAN ABDUL LATIFF
Putra Business School (PBS)


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo