SINGAPURA: Seorang blogger hari ini diarah membayar SGD$133,000 (RM408,000) sebagai ganti rugi kerana memfitnah Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong.
Leong Sze Hian didapati bersalah berkongsi artikel di Facebook yang mengaitkan pemimpin itu dengan skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hsien Loong menuduh Sze Hian menyebarkan dakwaan palsu melalui artikel berkaitan skandal pengubahan wang haram dana milik 1MDB.
Pengkritik mendakwa kes itu adalah contoh terkini bagaimana kerajaan mengawal ketat dan berusaha untuk mengekang kebebasan menyuarakan pandangan mengenai isu yang tersebar dalam talian.
Pemimpin Singapura sering mengambil tindakan mahkamah berhubung pelbagai kritikan terhadap mereka, sama ada oleh pembangkang atau media asing dan menegaskan tindakan itu penting untuk menjaga kewibawaan mereka.
Hakim Mahkamah Tinggi, Aedit Abdullah, mengarahkan Sze Hian membayar ganti rugi SGD$133,000 (RM408,000) kepada Hsien Loong, yang membuat tuntutan SGD$150,000 (RM460,000).
Peguam Sze Hian, Lim Tean, menyifatkan keputusan itu sebagai salah dan tidak berasas.
Berdasarkan perbicaraan yang bermula pada Oktober lalu itu, Sze Hian didakwa melakukan tuduhan 'berniat jahat dan tidak berasas' yang merosakkan integriti serta kejujuran pemerintah.
Artikel yang dikongsi tertuduh itu asalnya diterbitkan di portal akhbar Malaysia, yang mendakwa Hsien Loong menjadi sasaran bagi penyiasatan berhubung dana 1MDB.
Sze Hian turut berpandangan tidak ada keperluan bagi meneruskan saman fitnah itu kerana pihak berkuasa sudah menafikan tuduhan berkenaan selain Perdana Menteri hanya memilih defendan sedangkan ramai yang berkongsi artikel sama. - AGENSI
No comments
Post a Comment