PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mendesak kerajaan menjelaskan bagaimana struktur kompaun baharu bagi kesalahan Covid-19 membantu mengekang penyebaran virus itu.
Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan struktur denda baharu, termasuk kedudukannya di sisi undang-undang dan juga kurangnya kejelasan dalam peraturan Covid-19 dan kesan negatifnya terhadap perniagaan dan masyarakat.
Kenyataan itu turut menyebut, kebimbangan itu turut ditimbulkan oleh Industries Unite, sebuah kumpulan yang mewakili 110 persatuan perdagangan dengan 3.3 juta perniagaan.
“Kami juga amat prihatin berkaitan isu keperlembagaan pengenaan kompaun terhadap individu pada ketika perincian kesalahan belum lagi dimuktamadkan,” katanya.
Bekas gabungan pemerintah itu menyeru peguam negara untuk meneliti isu terbabit dari sudut pandang Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
Awal minggu ini, Putrajaya mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menetapkan garis panduan bagi kompaun, termasuk jumlahnya dan kategori kesalahan Covid-19.
Jumlah kompaun antara RM1,500 hingga RM10,000, dan pesalah ditawarkan potongan sebanyak 50% atau 25% sekiranya mereka membayar saman dalam tempoh ditetapkan.
Majlis Setiausaha PH juga berkata, tidak jelas bagaimana perubahan dalam dasar dan undang-undang membantu mengekang penularan virus.
“Sebagai contoh, apakah bukti kerajaan bahawa nilai asal kompaun RM1,000 untuk mereka yang tidak mematuhi SOP bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) tidak berkesan dalam usaha mengurangkan jangkitan Covid-19?
“Dan apa yang telah membuatkan kerajaan percaya bahawa meningkatkan nilai ini kepada RM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi syarikat akan menjadikan usaha mengekang penularan Covid-19 lebih berkesan?”
Katanya, masih belum ada bukti menunjukkan data daripada aplikasi MySejahtera digunakan secara efektif untuk mengekang penularan virus.
Pemimpin parti itu mengulangi desakan mereka untuk Parlimen bersidang semula dengan segera sebagai salah satu cara menyelamatkan negara dengan menggubal undang-undang dan dasar lebih berkesan.
No comments
Post a Comment