NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

China, Malaysia perlu teroka peluang pertumbuhan baharu




KUALA LUMPUR, 12 Mac -- China dan Malaysia perlu meneroka kerjasama dan memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu untuk mempercepat pemulihan ekonomi dalam tempoh pasca-COVID-19.

Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing berkata sambil memperluas kerjasama tradisi dalam perdagangan, pelaburan dan pelancongan, kedua-dua negara juga perlu menumpukan kepada bidang kerjasama baharu.

"Ketika dunia dilanda perubahan yang tidak dijangka akibat pandemik ketidakpastian dihadapi pembangunan global semakin meningkat, menimbulkan cabaran bagi kerjasama ekonomi dan perdagangan China-Malaysia.

"Namun, selalu ada peluang pada saat krisis," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Bernama.

Duta itu menggariskan tiga bidang yang berpotensi, pertama Malaysia dan China mengukuhkan kerjasama kesalinghubungan dan kapasiti pengeluaran.


Projek di bawah kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) misalnya sudah menjadi permulaan yang baik.

"China percepatkan pola pengembangan baharu dengan saling menguatkan pengedaran domestik dan antarabangsa dan membuka peluang lebih besar," katanya.

Kedua-dua negara ujarnya harus merebut peluang Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk memajukan kerjasama dua hala dalam projek utama antaranya “Two Countries, Twin Parks” dan Jalur Rel Pantai Timur (ECRL).


Ouyang juga menggesa pemain industri kedua-dua negara memupuk pertumbuhan baharu dalam kerjasama ekonomi digital.

Malaysia, katanya turut memberi penekanan terhadap ekonomi digital dengan pelancaran Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) baru-baru ini.

"Pandemik ini telah membuka peluang besar terhadap ekonomi digital. China dan Malaysia dapat meneroka pelbagai kerjasama dalam bidang 5G, kecerdasan buatan (AI), bandar pintar, dan lain-lain untuk mengoptimumkan dan meningkatkan industri, meningkatkan peluang pekerjaan dan keusahawanan, menambah momentum baharu pembangunan," katanya.

Malaysia-China juga perlu menjadikan pandemik sebagai peluang untuk memperkuat kerjasama jangka sederhana dan panjang dalam sektor kesihatan awam.

Tambahnya, semasa proses memerangi wabak, China dan Malaysia saling berkongsi pengalaman dan menjalinkan kerjasama dalam penyelidikan serta pembangunan vaksin.

"China bersedia untuk terus meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam rawatan perubatan, pembangunan vaksin dan bidang lain untuk membangun komuniti kesihatan bersama," katanya.

Dalam wawancara itu, beliau berkata China terus menjadi rakan dagang terbesar Malaysia untuk tahun ke-12 berturut-turut dan sumber pelaburan langsung asing (FDI) terbesar dalam sektor pembuatan selama lima tahun berturut-turut.

"Trend ini tidak terganggu oleh pandemik menunjukkan pelabur China mempunyai keyakinan besar terhadap potensi dan prospek ekonomi Malaysia.

"Saya berharap dapat melihat lebih banyak syarikat China melabur di Malaysia," katanya.

Beliau berkata dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah dagangan China dan Malaysia meningkat dengan stabil.

Menurut statistik Kedutaan China, jumlah dagangan dua hala China dan Malaysia berjumlah US$131,16 bilion (kira-kira RM539.3 bilion) pada 2020, meningkat 5.7 peratus dari tahun ke tahun.

Eksport China ke Malaysia pada 2020 berjumlah US$56.43 bilion (sekitar RM232 bilion), meningkat 8.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, sementara eksport Malaysia ke China pada tahun sama mencecah US$74.73 bilion (sekitar RM307.2 bilion), peningkatan 3.9 peratus dari 2019.

Ouyang berkata syarikat-syarikat China di Malaysia juga telah memainkan peranan aktif dalam pemulihan dan pembangunan ekonomi Malaysia.

Alliance Steel contohnya telah melabur dan membina sebuah kilang keluli di Pahang, yang memberi peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 pekerja tempatan.

Di peringkat global pula, Malaysia adalah rakan dagang kesembilan terbesar China dan rakan dagang kedua terbesar China di ASEAN.

Beliau berkata sebagai hab penting di Laluan Sutera Maritim Abad ke-21, Malaysia menikmati lokasi geografi dan persekitaran perniagaan yang baik.

"Ini adalah destinasi yang sesuai untuk pelaburan. Saya yakin perusahaan China akan terus mencapai kejayaan yang besar di sini, ”katanya.

China akan terus mengembangkan potensi pasarannya dan berkongsi lebih banyak manfaat pembangunan dengan seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Malaysia dan China adalah rakan kongsi semula jadi yang keperluan pembangunannya sangat serasi. Saya percaya, kerjasama China dan Malaysia dalam menewaskan pandemik COVID-19, akan memberi manfaat bersama dan kepada kemajuan baharu,” katanya.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo