KANGAR : Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu diberi peluang memerintah sehingga cukup penggal bagi membuktikan segala dasar yang dirancang dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat di negara ini.
Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, tidak ada keperluan mendesak untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) secara tergesa-gesa.
Kata Setiausaha Agung Pas itu, kerajaan PN baharu setahun memerintah dan perlu diberi peluang meneruskan dasar-dasar yang dirancang.
“Tidak ada guna dipercepatkan pilihan raya. Sesebuah kerajaan perlu diberi peluang untuk membuktikan segala dasar yang dirancang itu dilaksanakan.
“Macam kerajaan PN, baru setahun, perlu diberi peluang untuk meneruskan dasar-dasar. Malah, pilihan raya bukan sesuatu perkara yang mudah kerana melibatkan rakyat terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan dan taklimat Jawatan Kuasa Pengurusan Darurat Covid-19 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan PN diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meneruskan pentadbirannya sehingga cukup penggal lima tahun yang dijadual berakhir Mei 2023.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dilaporkan berkata, ini kerana usaha kerajaan untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 serta membela kehidupan masyarakat secara tuntas memerlukan masa dan perlu direkodkan.
Justeru kata Rais, jika PRU-15 diadakan tahun ini, masanya terlalu suntuk kerana belum lagi dibuktikan standard kehidupan rakyat daripada peruntukan RM322.5 bilion Belanjawan 2021 yang diluluskan.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa tempoh maksimum bagi sesuatu kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri adalah lima tahun.
“Lima tahun itu dikira daripada hari pertama persidangan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Bila cukup tempoh lima tahun, kalau tidak dibubar, maka terbubar dengan sendirinya.
“Jadi terpulanglah kepada Perdana Menteri dalam tempoh tersebut hendak minta Yang Dipertuan Agong bubar awal atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/2021/03/beri-peluang-kerajaan-pn-buktikan
Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/2021/03/beri-peluang-kerajaan-pn-buktikan
No comments
Post a Comment