20 MAC: Desakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Parlimen bersidang, dianggap untuk menguji pengaruh sokongan diperolehnya daripada Ahli Parlimen, sekali gus bagi menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Penganalisis Politik dan Pensyarah Kanan Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata keadaan itu adalah berkemungkinan Ahli Parlimen Port Dickson terbabit percaya beliau mempunyai sokongan majoriti, selepas terdapat khabar meyakinkan yang mendakwa beliau sudah memperolehnya.
Katanya, khabar itu mendakwa Anwar mengadakan perundingan dengan UMNO yang memiliki 39 kerusi di Parlimen.
“Kita tidak tahu mungkin dakwaan itu betul atau sebaliknya dan adakah perundingan benar-benar berlaku antara Anwar dan UMNO.
“Sekiranya memang perundingan itu diadakan, kita tidak tahu apakah perkara dibincangkan dalam rundingan mereka.
“Namun, saya percaya jika Anwar tidak ada keyakinan, mungkin beliau tidak akan berani mendesak Parlimen bersidang,” katanya ketika dihubungi PN BBC.
Mazlan berkata, secara jelas, apa dapat dilihat ketika ini adalah sokongan terhadap Perdana Menteri meningkat selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang beralih menyokong kerajaan.
“Jadi saya lihat barangkali dalam UMNO ini masih ada suara yang mengkritik kerajaan dan atas keadaan itu, boleh jadi juga UMNO dan Anwar mengadakan perundingan, sehingga meyakinkan Anwar untuk mendesak Parlimen bersidang kerana mereka fikir dapat melakukan sesuatu,” katanya.
Ditanya apakah kesan sekiranya persidangan Parlimen dibenarkan dan berlaku undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, beliau menganggap perkara itu mustahil berlaku.
Menurut Mazlan, berdasarkan peraturan mesyuarat di Parlimen, keputusan berhubung undi tidak percaya berada di bawah budi bicara Speaker Dewan Rakyat.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata Anwar dilihat mempunyai motif tersirat untuk menjatuhkan kerajaan melalui undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, di sebalik desakannya supaya Parlimen bersidang.
Tegasnya, tiada keperluan mendesak untuk berbahas kerana kerajaan ketika ini sedang menangani impak penularan COVID-19 dengan baik, termasuk suntikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Beliau berkata, dalam tempoh darurat ini, banyak perkara yang boleh didahulukan dan sekarang bukan masa untuk bercakap (berbahas), tetapi bertindak.
Menyentuh impak sekiranya berlaku undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Mohd Izani berkata, rakyat akan terkesan dengan perubahan kerajaan.
“Tidak patut heret rakyat dalam kancah perebutan kuasa antara mereka.
“Jika berubah kerajaan, dikhuatiri akan melengahkan beberapa perkara yang perlu diputuskan dengan kadar segera demi kepentingan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai sejauh mana Anwar boleh menerima sokongan majoriti seperti sering didakwanya, Mohd Izani menegaskan, Ketua Pembangkang itu mulai kurang relevan dalam politik tanah air, namun beliau pandai memanipulasi isu dan keadaan agar terus relevan.
“Beliau sejak akhir-akhir ini banyak membuat publisiti murahan untuk terus mendapat perhatian media dan rakyat,” katanya. Oleh: FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
No comments
Post a Comment