PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mahu Peguam Negara Idrus Harun dan orang digantinya, Tommy Thomas, menjelaskan kenapa Ahli Parlimen PPBM yang mempunyai kes berkait 1MDB dilepaskan.
Anwar membuat gesaan itu susulan pertemuannya dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Dalam pertemuan itu, Anwar berkata ada beberapa bekas Ahli Parlimen Umno yang berhijrah ke PPBM didakwa menerima wang yang dikatakan daripada 1MDB.
“Yang kekal sebagai pembangkang didakwa, yang lompat dilepaskan,” katanya kepada pemberita.
“SPRM menjelaskan mereka tidak terlibat dalam melepaskan sesiapa, ini kata mereka, budi bicara jabatan peguam negara atau peguam negara pada ketika itu.”
Pada pertemuan itu Anwar turut meminta SPRM lebih telus dalam siasatan ke atas dakwaan seorang bekas menteri dikatakan diberi jaminan akan bebas dari sebarang tindakan rasuah jika melompat parti.
“Dalam kes ini seolah-olah keadaan terkawal dan siasatan diam terus,” katanya.
Anwar diberi jaminan daripada Azam sendiri kes itu tidak pernah dihentikan dan siasatan masih berjalan.
“Pesuruhjaya dan pegawainya bagi jaminan mereka tetap telus tetap bebas dan tidak menutup mana-mana kes kalau benar ada rasuah,” katanya.
Anwar tiba di bangunan SPRM kira-kira 2.50 petang dan pertemuan berlangsung kira-kira satu jam.
Pertemuan adalah bagi menyampaikan rasa gelisah pembangkang susulan dakwaan agensi itu digunakan sebagai ‘senjata politik’.
-FMT
No comments
Post a Comment