USAHA Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan program berterusan meneraju kemenjadian kecemerlangan anak bangsa negara masa depan iaitu DidikTV KPM yang disiarkan ntv7, ia sesuatu yang sangat terpuji. Inisiatif ini dapat mengimbangi kesamarataan pendidikan untuk semua murid dalam negara ini.
Saya teringat suatu ketika di bangku sekolah sekitar 1970-an. Bersekolah pada peringkat sekolah rendah, terdapat penjadualan dalam sistem jadual waktu, iaitu TV Pendidikan. Alangkah terujanya kami jika ada minggu yang kami dibenarkan masuk ke bilik audio visual untuk slot TV Pendidikan. Ini kerana setiap sekolah hanya ada sebuah televisyen yang menjadi idaman setiap murid.
Alangkah seronoknya dapat menonton slot TV Pendidikan ketika itu. Pada masa itu, guru mengarahkan supaya mencatat segala apa terkandung dalam judul yang akan kami tonton walaupun kandungannya tidak sama dengan sukatan pelajaran atau berbeza dengan kandungan yang kami sedang belajar.
Keseronokan dapat mengikuti slot TV Pendidikan itu, menyebabkan kami memberi tumpuan sepenuhnya. Keseronokan belajar atau mengikuti apa-apa jua yang disampaikan akan memberi kesan berpanjangan atau berada dalam ingatan seseorang murid lebih lama. Kejayaan murid menguasai ilmu bergantung kreativiti guru dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran tertentu.
KPM sangat memahami pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara fizikal dan medium lain atau secara pembelajaran teradun perlu dijadikan budaya pembelajaran berkesan serta amalan masa kini.
Mulai 1 Mac ini, sesi persekolahan akan dibuka secara berperingkat. Walaupun keadaan pandemik COVID-19 dalam keadaan tidak menentukan, KPM prihatin bahawa betapa pentingnya sesi pembelajaran aktif perlu dijalankan demi kemenjadian murid secara holistik.
Sebenarnya, kepelbagaian dalam medium penyampaian ilmu pengetahuan selari dengan pembangunan negara masa kini. Kemajuan bidang teknologi maklumat dan komunikasi perlu digembleng supaya selari dengan keperluan pembelajaran secara bersemuka.
Peranan guru tidak hilang dengan ledakan peranan teknologi maklumat dan komunikasi dalam dunia pendidikan kini. Murid masih mengharapkan kreativiti seseorang guru dalam menyantuni kejayaan mereka.
Oleh itu, pembelajaran berkesan berlaku jika murid seronok belajar. Pembelajaran merangkumi tiga aspek perlu diberi keutamaan, iaitu guru, murid, dan bahan.
Apabila ketiga-tiga aspek saling berinteraksi antara satu sama lain, maka akan wujud pembelajaran berkesan. Tugas guru bukan hanya memberi ilmu pengetahuan kepada murid, tetapi lebih daripada itu.
Guru perlu berupaya menarik minat murid kepada apa-apa jua yang ingin disampaikan. Mereka perlu berusaha ke arah menonjolkan kreativiti lebih tinggi untuk menarik minat dan keseronokan murid terus mengikuti pengajarannya.
Kreativiti ini bukan hanya terletak kepada pengetahuan kandungan sesuatu mata pelajaran, sebaliknya guru perlu menguasai pendekatan, kaedah dan teknik bersesuaian dengan keupayaan muridnya.
Cara dan gaya penyampaian juga perlu memberi kesan keseronokan dan menarik perhatian serta tumpuan murid, termasuk menggunakan unsur kecindaan atau jenaka. Guru perlu bijak menangani situasi atau keadaan ketika menyampaikan ilmu supaya tidak wujud suasana membosankan.
Di samping itu, guru perlu bijak menggunakan laras bahasa mudah difahami murid. Dalam situasi sukar sekarang , bagaimana guru boleh berperanan sebagai pemudah cara dalam menyampaikan ilmu pengetahuan sangat didambakan. Penyampaian langsung kepada murid amat diperlukan, iaitu apabila ada guru semestinya ada murid.
Ini akan melahirkan suasana pembelajaran sebenar. Murid sangat dahagakan ilmu daripada guru. Kewujudan murid secara fizikal atau secara maya perlu disediakan. Interaksi dua hala antara guru dengan murid perlu wujud.
Tindak balas secara langsung dalam kalangan murid akan membuka suasana pembelajaran aktif. Jika guru berjaya mewujudkan suasana pembelajaran aktif, maka medium yang akan melengkapkan pembelajaran ialah bahan ajar.
Penggunaan bahan ajar sesuai dan autentik menjadi keutamaan jika ingin mewujudkan pembelajaran berkesan. Kini, bahan ajar sering menjadi pilihan adalah penggunaan bahan teknologi maklumat dan komunikasi , iaitu peranti dan juga aplikasi lain yang sering guru gunakan.
Kegemaran menggunakan alat teknologi maklumat dan komunikasi ini akan menyebabkan sesetengah murid dan ibu bapa terkesan kerana kekurangan kemudahan dan capaian internet. Maka KPM berusaha mewujudkan imbangan situasi dan desakan pendidikan untuk semua.
Guru perlu ingat bahawa bahan ajar hanya medium atau wadah sahaja. Apa paling utama ialah kandungan yang hendak disampaikan. Kandungan itu perlu guru teliti sama ada memenuhi keperluan dan kesesuaian aras pemahaman atau pencapaian murid.
Jika guru tidak mempertimbang kandungan, sudah pasti mereka akan gagal memberi pembelajaran terbaik kepada muridnya. Adakah kita hanya memikirkan kepentingan pembelajaran adalah berdasarkan keputusan pentaksiran yang akan mereka lalui?
Bagaimana pula kemenjadian mereka pada masa depan? Matlamat kita perlu seiring dengan kehendak murid, masyarakat dan negara.
KPM sudah menyediakan asas sangat baik, barang kali guru perlu memikirkan pelaksanaan lebih berkesan. Guru perlu mendidik, melatih dan membimbing murid agar mereka berjaya memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
***Penulis adalah Profesor di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris
No comments
Post a Comment