DI MANA silapnya? Ini persoalan yang harus ditanya apabila terdapat rungutan dalam kalangan pemimpin masyarakat Cina khususnya parti politik berhubung prosedur standard operasi (SOP) sambutan Tahun Baharu Cina.
Adakah SOP itu dirangka tanpa merujuk kepada mana-mana pihak berhubung sambutan perayaan? Apa bezanya keputusan SOP ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Hari Krismas, Deepavali dan Thaipusam?
Jawapannya ada perbincangan.
Pastinya kita tidak mahu isu kesihatan dipolitikkan oleh mana-mana pihak atau akhirnya dikatakan bersifat berat sebelah atau perkauman kerana dalam isu-isu begini lebih banyak pihak akan mengambil kesempatan menangguk di air keruh.
Justeru langkah Kementerian Perpaduan Negara mahu membawa pandangan dan rayuan masyarakat Tionghua kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung upacara Makan Besar Keluarga dan kehadiran ke rumah ibadat Tokong pada 11,12 dan 19 Februari ini sempena perayaan Tahun Baharu Cina amat dialu-alukan.
Selesaikan dengan baik supaya perayaan diteruskan dengan norma baharu yang boleh memuaskan semua pihak. Pastinya ada SOP yang boleh dilonggar (selepas kemuka rayuan dan permintaan ) dan ada juga SOP tanpa kompromi.
Kita telah melalui norma baharu sambutan beberapa perayaan sebelum ini dengan baik ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pematuhan SOP.
Maka jangan dibiarkan Tahun Baharu Cina pula menjadi kontroversi disebabkan beberapa perkara yang sepatutnya boleh dirungkaikan.
Cuma peliknya bagaimana SOP itu boleh dipertikaikan setelah Kementerian Perpaduan Negara menjelaskan, SOP yang diumumkan semalam adalah hasil perbincangan dengan 21 Badan Pertubuhan Agama, Persatuan Kebudayaan Cina dan pihak-pihak berkaitan pada 12 dan 18 Januari lalu.
Apakah 21 badan itu tidak layak memberi nasihat kepada kerajaan sebelum
Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob mengumumkannya semalam?
Menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara, SOP yang dirangka itu adalah hasil perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Malaysian Buddhist Association, Buddhist Missionaries Society Malaysia, Persatuan Agama Taoisme Malaysia, Lutheran Church of Malaysia, Association of Churches in Sarawak, Malaysian Chinese Muslim Association, Fo Guang Shan dan Persekutuan Persatuan Taoist Malaysia serta beberapa persatuan lain.
Lebih pelik dan mengelirukan, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Ti Lian Ker mendakwa, kerajaan melakukan “kesilapan” dalam SOP terbaharu untuk perayaan Tahun Baharu Cina minggu depan.
Katanya, senarai yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu mesti ditarik balik dan diganti dengan versi yang disemak semula.
Kita tunggu dan lihat tetapi pada masa yang sama jangan ada pihak yang sengaja mencari jalan untuk mengeruhkan suasana.
SOP BAGI SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA TAHUN 2021
(Seperti kenyataan Kementerian Perpaduan Negara)
1. Sambutan perayaan hanya DIBENARKAN di rumah kediaman bersama ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja.
2. Aktiviti Majlis Makan Besar Bersama Keluarga (Family Reunion Dinner) juga hanya DIBENARKAN di rumah kediaman bersama ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja.
3. Upacara sembahyang adalah TIDAK DIBENARKAN. Semua penganut / masyarakat Cina digalakkan melakukan upacara sembahyang di rumah masing-masing.
4. Aktiviti persembahan dan kebudayaan seperti persembahan tarian singa / tarian naga, perarakan “tanglung”, perarakan “chingay” dan persembahan opera cina atau pertunjukan pentas adalah TIDAK DIBENARKAN.
5. Aktiviti ziarah rumah ke rumah adalah TIDAK DIBENARKAN.
6. Aktiviti rentas daerah dan negeri adalah TIDAK DIBENARKAN.
No comments
Post a Comment