KUALA LUMPUR: Orang ramai dipelawa menyertai peluang pekerjaan yang disediakan Sime Darby Plantation Bhd (SDP) dalam operasi huluan dan hilirannya berikutan prospek industri itu yang lebih cerah.
Ketua Pegawai Perkhidmatan Operasi SDP, Adi Wira Abd Razak, berkata ini juga sekali gus dapat menepis salah tanggapan mengenai sektor itu berada dalam kategori industri kotor, berbahaya dan sukar (3D).
"Agak menyedihkan apabila kita melihat penurunan minat rakyat tempatan, terutama generasi muda sejak beberapa tahun lalu untuk mengambil peluang menyertai pelbagai pekerjaan dalam industri ini.
"Mungkin ini disebabkan terdapatnya tanggapan salah bahawa ini adalah sebahagian daripada industri 3D sedangkan hakikatnya itu tidak lagi sedemikian," katanya.
Adi Wira berkata, SDP sudah berusaha untuk melaksanakan aspek mekanisasi serta digitalisasi kerja-kerja di lapangan bagi meningkatkan aspek kecekapan, produktiviti selain memastikan keselamatan pekerja pada setiap masa.
Beliau berkata, kumpulan menawarkan banyak manfaat menarik bagi mewujudkan persekitaran kerja dan tempat tinggal yang kondusif untuk pekerja serta keluarga mereka.
Ini, katanya, adalah antara komitmen kumpulan untuk melindungi dan menghormati hak semua pekerja tanpa mengira aspek jantina, latar belakang etnik serta agama.
Katanya, peluang pekerjaan itu turut disertai dengan latihan, panduan dan sokongan sewajarnya bagi memastikan pekerja baharu mempunyai kepakaran bagi menjalankan tugas mereka serta membina karier progresif dalam industri perladangan.
"Usaha menarik penyertaan pekerja tempatan juga turut menjadi sebahagian daripada langkah bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam industri terbabit.
"Kami sememangnya giat mengambil khidmat pekerja tempatan sejak tahun lalu dan berharap dapat melihat bilangan pekerja ini terus meningkat.
"Prospek masa depan industri ini adalah cerah berikutan kepentingan minyak sawit dan khasiatnya kepada dunia. Lebih 50 peratus produk yang anda lihat di pasar raya di serata dunia mengandungi minyak ini yang sukar digantikan dengan sumber alternatif lain," katanya.
Adi Wira berkata, atas alasan itu, kumpulan yakin industri sawit akan terus berkembang dan menyediakan peluang serta pekerjaan menjaminkan untuk mereka yang bersedia merebut kesempatan dalam sektor berkenaan.
-BERNAMA
No comments
Post a Comment