Jika hendak memberi sedekah yang terbaik adalah barangan kesayangan kita.
Ini dibuktikan pemilik Pasaraya Mempaga Segar, Abdul Rahman Mat Isa,30, yang menjual kereta Honda Civix EK9 kesayangannya bagi membantu membina semula Pusat Tahfiz Dala di Lanchang di sini yang musnah akibat ditenggelami banjir baru-baru ini.
Kereta dibeli pada 2017 yang hampir keseluruhan telah diubahsuai dengan perbelanjaan yang besar itu dijual dengan harga RM76,000 yang kemudiannya diserahkan kepada pusat tahfiz berkenaan.
Farah Balqis Ahmad,30, berkata, pada mulanya dia terkejut apabila suaminya menyatakan mahu menjual kereta yang menjadi kesayangan suaminya itu.
“Dia memang sayang sangat kereta itu dan sebelum ini mengatakan walaupun sibuk dan jarang menggunakannya dia tidak mahu menjual kereta tersebut.
“Tetapi pada malam Ahad lalu tiba-tiba dia memberitahu mahu menjual kereta kesayangannya itu dan sudah mengiklankan dalam Facebook kerana ingin membantu membina semula Pusat Tahfiz Dala,”katanya di sini, hari ini.
Menurut Farah Balqis, sebaik sahaja pembayaran dibuat dan kereta diambil pembeli pada Isnin lalu, Abdul Rahman segera menyerahkan duit jualan kereta itu kepada pihak pusat tahfiz berkenaan.
Tambahnya, pada masa ini suaminya juga sedang giat membantu pembinaan semula pusat tahfiz berkenaan termasuklah menyediakan jengkaut.
“Dia begitu gembira dapat membantu pusat tahfiz berkenaan dan sebelum ini pun memang dia sering menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada pusat-pusat tahfiz yang memerlukan,”katanya.
Dalam itu katanya, sebaik sahaja suaminya memasukkan iklan jualan kereta itu ke Facebook begitu ramai individu yang menyatakan hasrat untuk membeli sebelum kereta berkenaan dijual kepada individu yang kedua awal.
“Memang tidak putus-putus panggilan telefon suami terima tetapi seorang individu yang membuat panggilan awal yang berasal dari Kuala Lumpur terus memindahkan wang sebaik sahaja bersetuju dan pada hari sama menghantar lori untuk membawa balik kereta berkenaan,” katanya.
No comments
Post a Comment