NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Persoalan Iddah Bagi Wanita


 
oleh Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Iddah Itu Pengabdian Selain Hikmah Bersih Rahim
Iddah ialah tempoh yang dikenakan ke atas seorang isteri sama ada diceraikan atau kematian suami bagi sesuatu tempoh sebelum dibenarkan melakukan akad nikah semula yang baharu.
 
Sepanjang iddah wanita tersebut tertahan dari berkahwin dan tidak boleh mana-mana lelaki melontarkan risikan mengajak kahwin secara terang-terangan dengan lafaz yang sorih atau jelas.

Antara perbahasan para ulama menyatakan pensyariatan iddah itu kerana beberapa tujuan dan hikmah :

1. Pengabdian atas perintah Allah.
 
2. Penyucian rahim agar tidak berlaku percampuran nasab keturunan anak (jika sedang hamil atau akan hamil)
 
3. Sebagai tempoh suami yang menceraikan berfikir semula dan menyesali akan penceraian yang terjadi, bagi talak raj'i.
 
4. Sebagai tanda kesedihan atas pemergian suami tercinta, bagi iddah kematian suami.
 
Para ulamak menekankan iddah bukan disebabkan adat tetapi pensyariatan. Sehubungan itu apabila ia pensyariatan yang jelas ada perintah dari al-Quran dan al-Sunnah maka sudah pasti utamanya ialah pengabdian terhadap perintah syarak. Apatah lagi, iddah tetap dikenakan ke atas wanita yang sudah putus haid dan sudah tidak boleh lagi mengandung mengikut ilmu perubatan apabila kematian suami atau cerai di waktu usia yang lanjut.
 
Maka dalam keadaan tersebut, hikmah membersihkan rahim bukan menjadi suatu yang zahir namun iddah tetap diperintahkan menjadikan ia lebih pengabdian akan seorang wanita.
 
Manakala terdapat satu keadaan wanita yang diceraikan namun tiada iddah iaitu apabila ia diceraikan dan belum pernah disetubuhi lagi. Maka keadaan ini tiada iddah bagi wanita tersebut. Ini kerana nikah juga hakikatnya persetubuhan dan hikmah iddah antara utamanya ialah membersihkan rahim namun kondisi wanita itu tidak pernah terjadi persetubuhan maka tiada iddah, agar tidak membebankan ia dengan tempoh tertahan dari berkahwin lain.
 
Wanita Menjalani Iddah Beroleh Pahala
Apabila wanita yang diceraikan atau kematian suami menjalani tempoh iddah maka ia dikira menuruti perintah Allah. Maka sepanjang ia menjaga dirinya sepanjang tempoh iddah maka ia beroleh pahala.
Ini kerana apa sahaja perbuatan yang mengikut perintah Allah dan meninggalkan apa sahaka yang dilarang oleh Allah maka ia mendapat pahala.
 
Tempoh iddah adalah berbeza mengikut situasi iaitu :

  1. Kematian suami : iddahnya ialah 4 bulan 10 hari, melainkan jika ia dalam keadaan hamil maka setelah kelahiran iddahnya.
  2. Penceraian jika sedang mengandung maka tempoh iddahnya ia sehingga kelahiran anak.
  3. Penceraian jika masih didatangi haid ialah 3 kali suci.
  4. Penceraian jika belum didatangi haid (belum baligh) atau sudah putus haid maka iddah ialah 3 bulan.
  5. Justeru, jangan merasa berat dengan tempoh iddah tetapi ingatlah sepanjang ia menahan diri dalam tempoh iddahmya kerana Allah maka sepanjang itu ia beroleh pahala di sisi Allah. 
Ihdad (Berkabung) Perlu Ditekankan

Ihdad bagi wanita kematian suami adalah wajib selama dalam tempoh iddahnya. Manakala bagi penceraian ialah sunat. Ihdad lebih ditekankan ke atas wanita yang kematian suami memandangkan hukumnya yang wajib.
 
Ia menerusi riwayat oleh Ummu `Atiyyah r.a., katanya yang bermaksud:

"Kami dilarang berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari kecuali berkabung atas kematian suami selama empat bulan sepuluh hari. Kami dilarang bercelak mata, dilarang memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berwarna-warni." - riwayat al-Bukhari

Ihdad terlaksana dengan meninggalkan segala perhiasan dan kecantikan serta duduk di rumah, dan tidak keluar melainkan keperluan mendesak. Ihdad lebih bertujuan agar menghormati suami yang telah meninggal dunia dan menzahirkan kesediahan bagi si isteri tersebut.
 
Namun jangan sampai melampaui pula dengan meratapi kematian, tidak menerima taqdir tuhan dan langsung tidak berbicara dengan sesiapa pun. Di zaman jahiliyah, para isteri menyatakan kesedihan dengan meratapi kematian sehinggakan berguling-guling dan mengoyakkan baju. Ini keterlaluan dan ia diharamkan selepas kedatangan Islam.
 
Bagi keadaan yang mendesak untuk keluar rumah dan tiada alternatif lain maka hendaklah :

  1. Pastikan urusan yang syar'ie.
  2. Keadaan yang mendesak.
  3. Keluar dan balik dengan bersegera.
  4. Jaga penampilan diri dalam keadaan berkabung.
 
Justeru, khusus kepada wanita yang kematian suami maka perintah syarak je atas mereka ialah :
  1. Iddah
  2. hdad (berkabung)
  3. Tidak keluar rumah

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo