NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menanti ‘ekonomi’ masjid dibuka semula

Oleh Hassan Mohd Noor

ENTAH Jumaat yang keberapa, kebanyakan orang di negeri-negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dapat menunaikan solat Jumaat. Sesetengahnya berjaya mencari ruang di masjid luar kariah.

Sekali, dua kali atau tiga kali mungkin masih dianggap tidak apa tetapi masuk kali keempat dah mula resah gelisah apatah lagi pada masa yang sama, mereka ‘cemburu’ ada masjid/surau yang boleh menyediakan ruang ‘sewajarnya’ untuk solat.

Sedihnya ketika azan solat Jumaat sedang berkumandang, di restoran mamak berdekatan masjid, ‘jemaah’ di situ bagaikan terikat kaki untuk melangkah ke masjid kerana Prosedur Operasi Standard (SOP) masjid dan restoran tidak sama.

Bagi sesetengah negeri yang masih mengehadkan kehadiran, jemaah menghadapi kesulitan untuk solat kerana pemilihan berdasarkan pilihan ahli jawatankuasa (AJK) masjid. Ada yang mewakili surau dan ada pula dipilih secara rawak. Ikut nasib.

Pelbagai komen dan rungutan kedengaran dalam kalangan jemaah tetapi kita tidak boleh menuding jari menyalahkan AJK masjid sepenuhnya. Begitu juga pemerintah.

Bersangka baik, kita percaya AJK masjid cuba melakukan yang terbaik bagi memenuhi ‘permintaan yang mengatasi bekalan’. Ruang amat terhad (walaupun masjid besar) tetapi bilangan jemaahnya ramai.

Semalam seperti kata seorang nazir sebuah masjid ketika bercakap mengenai had jemaah berkata: “Kita ada pemerintah”. Jawapan ringkas tetapi maksudnya, mahu atau tidak, jemaah perlu patuh perintah dikeluarkan, yang pastinya bukan ‘ikut suka’.

Namun kata nazir itu lagi, usaha terus dibuat untuk memberi penggiliran dan menyediakan ruang yang bersandarkan rekod kepatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan ini memerlukan kerjasama jemaah yang hadir.

Justeru tidak kena untuk membandingkan situasi di tempat kita dengan tempat lain.
Kata orang di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Lain padang lain belalang.

Jawatankuasa masjid/surau sudah tentu tidak mahu ruang ibadah mereka terus kosong dengan lima enam jemaah pada solat fardu atau 40 orang pada solat Jumaat. Tidak sampai separuh dewan solat diisi, hanya tiga atau empat saf.

Memang sulit bagi jawatankuasa melayani kerenah anak-anak kariah yang sudah lama tidak solat Jumaat. Khabarnya ada yang sembilan bulan tidak solat Jumaat.

Maknanya, jemaah itu terlepas peluang juga semasa PKP Bersyarat (PKPB) yang bilangan jemaah juga mengikut kapasiti masjid. Waktu itu siapa yang mendaftar atau siapa cepat dia dapat tempat.

Justeru semakin lama PKP, semakin lambat peluang untuk solat berjemaah khususnya solat Jumaat. Wang masih boleh diikhtiar tetapi membimbangkan jika jemaah mula tawar hati dan tidak ambil pusing ke masjid/surau.

Sedar atau tidak, seperti sektor ekonomi lain yang kehilangan hasil – sama ada Mak Cik Kiah, Pak Salleh, Madam Lee, Surjit Kaur dan ramai lagi yang ada kilang, restoran, kedai, gerai – perkembangan ‘ekonomi’ berkaitan agama juga terjejas.

Sekadar contoh, wang zakat merosot, bantuan kepada institusi pendidikan agama terutama swasta atau individu berkurangan dan wang tabung masjid semakin ‘kering’ bagaikan kolah di masjid yang dikeringkan sejak Mac tahun 2020.

Mungkin akan ada yang berkata, masjid ‘dikosongkan’ buat apa lagi duit tabung? Hakikatnya masjid atau surau tidak ditutup sepenuhnya. Sekurang-kurangnya masih perlu diimarahkan lima waktu sehari semalam.

Bagi masjid yang mempunyai imam, bilal dan siak yang tetap, mereka tidak boleh dibuang sesuka hati sebaliknya perlu dibayar gaji. Bil air dan api perlu dijelaskan walaupun ada bil masjid dan surau yang dibiayai secara ‘tersembunyi’ oleh jemaah.

Masjid juga memerlukan dana untuk membiayai kuliah secara atas talian. Aktiviti seumpama ini tidak seharusnya dihentikan supaya jemaah di rumah berpeluang mengisi masa mereka dengan kuliah.

Bantuan kepada asnaf di kawasan kariah juga perlu diberi perhatian oleh masjid dan surau. Semuanya ini memerlukan dana dan sumbernya melalui sumbangan jemaah.

Jemaah yang selama ini sudah biasa mengisi tabung dengan RM1, RM2, RM5 atau RM10 atau berapa sahaja setiap kali solat amat merindui tabung sama seperti mereka merindui solat berjemaah.

Mereka amat ternanti-nantikan suasana kembali seperti biasa, solat berjemaah bermula Subuh hingga Isyak dan juga solat Jumaat, mengikuti kuliah Subuh, Dhuha atau Maghrib, dan pelbagai lagi.

Pastinya kumpulan jemaah ini lebih bersedia mematuhi SOP. Selebihnya bergantung kepada qada dan qadar. Tiada jaminan Covid-19 tidak menyapa jemaah di masjid kerana Covid-19 ada dalam kalangan masyarakat di mana-mana sahaja.

Sambil mematuhi SOP, kita hanya mampu berdoa untuk mengelakkan jangkitan. Setiap jemaah perlu bertanggungjawab memastikan mereka patuh SOP. Jika tidak masjid dan surau akan terus dihadkan penggunaannya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo