NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kisah Babi Industri di Pulau Pinang. Apa Kata Kerajaan DAP Negeri?




TASEK GELUGOR: Ternakan babi di negeri ini telah mencapai tahap industri dengan sebahagian besar pengeluaran haiwan itu adalah untuk tujuan eksport berbanding menjadi keperluan makanan atau industri tempatan.


Pengerusi Badan Bertindak Pencemaran Sungai Kreh (BBPSK), Ustaz Abdul Razib Abdul Rahim berkata, berada sebagai industri bermakna penternakan ini tentu sekali amat menguntungkan para pengusahanya.

Pun begitu menurut beliau, penternakan tersebut telah memberi kesan buruk yang menyebabkan pencemaran ke atas sumber air dan mengeluarkan bau busuk hingga menimbulkan rasa kurang senang penduduk.

Namun kesalinya, impak terjadi ke atas alam sekitar dan kesejahteraan penduduk itu seperti diabaikan apabila tiada tindakan diambil atau penguatkuasaan undang-undang oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Adakah disebabkan keuntungan besar dari industri penternakan babi ini, (maka) kerajaan negeri menutup mata dan telinga tanpa menghiraukan pencemaran yang semakin berleluasa,” persoal Ustaz Razib.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Tasek Gelugor mengupas isu bertajuk “Sungai Kreh: Bela Ikan atau Bela Babi?” anjuran Muslimat PAS Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menurutnya, Sungai Kreh sepanjang 13 kilometer itu walaupun didakwa tercemar oleh pembuangan sisa kilang oleh pihak tertentu, tetapi BBPSK mendapati penyebab utama adalah kerana pelepasan najis babi.

Terang beliau, masalah yang sudah berlarutan lebih 40 tahun itu turut mengakibatkan pencemaran ke atas beberapa sungai lain dan memasuki kawasan kampung daripada lembangan sama dengan Sungai Kreh.

Antaranya Sungai Korok, Parit Kampung Selamat, Sungai Kreh Tasik, Sungai Kecil Pokok Machang, Parit Malakof, Sungai Lubuk Meriam dan Sungai Lubuk Meriam Dalam serta tali air ladang kelapa sawit dan sawah padi sekitar.

“Berdasarkan maklumat pihak berkuasa, terdapat 77 lot bersamaan 136,000 ekor babi diternak di Kampung Selamat ini. Hasil tinjauan terbaharu kami saksikan proses pembersihan tinja babi dilepaskan terus ke parit dan mengalir ke dalam sungai tanpa tapisan,” ujarnya.

Maklum beliau, tinjauan tersebut dilakukan bersama lima NGO termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di kandang ternakan babi di Kampung Selamat, di sini hujung tahun lalu.

Malah isu ini juga telah mendapat perhatian Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man di mana wakil KASA turun padang melihat sendiri serta menerima memorandum daripada penduduk.

Kata Ustaz Razib, masalah pencemaran yang timbul bukan sahaja menyebabkan ketidakpuasan hati penduduk dalam kalangan komuniti Melayu, malah juga daripada kaum Cina dan India warga setempat.

Beliau juga kesal kerana selain bantahan penduduk seperti tidak diendahkan, malah tindakan juga tidak dikenakan ke atas penyebab masalah tersebut di mana penternakan berlaku tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, Kerajaan Persekutuan telah memutuskan sistem Penternakan Moden Babi (MPF) pada 17 September 2014, manakala DUN Pulau Pinang juga meluluskan Enakmen Penternakan Babi 2016.

Tetapi persoalnya, 13 lot ternakan babi di Kampung Selamat itu bukan sahaja tidak berlesen, malah 64 lot lainnya langsung tidak mengikut ketetapan MPF, apatah lagi untuk mematuhi pelepasan kumbahan ‘zero discharge’.

Sedangkan ujarnya, para peniaga di tepi jalan di negeri ini sering kali berdepan arahan penutupan atau sitaan yakni tindakan drastik, tetapi layanan sebaliknya terhadap masalah dilakukan dari industri ternakan babi.

Katanya, jika diambil tindakan, ia tidak berat di mana jika disabit dan didakwa mahkamah hanya dikenakan denda ringan seperti dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 Seksyen 82(5) kompaun RM250 hingga RM2,000.

“Jika dilihat, undang-undang terhadap kesalahan berkaitan tidak setimpal. Ini membuatkan pelanggaran berulang, seolah-olah pesalah tidak serik,” kesali beliau. – HARAKAHDAILY 4/2/2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo