GERIK – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun berdepan detik hitam apabila dinoda lelaki yang baru sehari dikenali menerusi aplikasi WhatsApp di sebuah rumah di Kampung Simpang Perak, Ayer Panas dekat Pengkalan Hulu di sini, Sabtu lalu.
Lebih malang lagi apabila remaja itu turut dirogol tiga lelaki lain dalam bilik berasingan di rumah tersebut antara pukul 11 malam hingga 3 petang, hari berikutnya.
Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, sebelum kejadian, mangsa yang masih bersekolah itu keluar dari rumahnya di Gerik bersama suspek berusia 18 tahun pada pukul 7.50 malam.
Katanya, suspek mempelawa mangsa kononnya untuk bersiar-siar sebelum dibawa ke sebuah rumah di Kampung Simpang Ayer Panas.
“Setibanya di lokasi kejadian, suspek telah mengajak mangsa masuk ke dalam rumah di mana terdapat tiga lelaki lain di dalamnya.
“Mangsa kemudiannya dirogol oleh kesemua suspek di dalam tiga bilik berasingan di rumah berkenaan sehingga petang hari Ahad,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa telah ditinggalkan di tepi jalan besar Kampung Tanjung Kala, Gerik kira-kira pukul 6.30 petang.
Katanya, mangsa yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu semalam kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani, Kedah.
“Susulan laporan polis dibuat mangsa, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pengkalan Hulu telah menahan enam lelaki berusia antara 18 hingga 58 tahun di beberapa lokasi di daerah Pengkalan Hulu.
“Kesemua lelaki itu termasuk pemilik rumah ditahan dengan beberapa barang kes berkaitan dirampas untuk siasatan,” katanya. #sumber
No comments
Post a Comment