NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

EXCO PAS Perak, Beli Tanah dan Wakafkan Kepada Golongan Asnaf

BAGAN SERAI: Beli tanah dan mewakafkannya kepada golongan asnaf untuk mereka mendirikan rumah.
Itu yang dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria yang membeli sebidang tanah seluas 1.2 hektar dan kemudiannya diwakafkan untuk pembinaan rumah kepada golongan miskin.

Tanah berkenaan dibeli pada harga RM120,000 di Kampung Alor Singa dekat sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, beliau mewakafkan tanah berkenaan kepada golongan asnaf, fakir dan miskin yang tidak mempunyai tanah agar mereka dapat membuat rumah kediaman sendiri.

“Semasa dalam proses pembelian tanah ini, saya telah menerangkan kepada pemiliknya berkenaan tujuan kegunaan tanah ini, lalu pemiliknya bersetuju dan menjualnya dengan harga demikian atas sebab ingin turut serta membantu dalam perkara ini, ” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga asnaf di Kampung Parit Haji Taib 3, Kampung Balik Bukit, Bukit Merah dan Kampung Parit Gabis Bawah di sini hari ini.

Menurut Razman, kebanyakan asnaf dalam kawasan DUN Gunung Semanggol tidak mempunyai tanah sendiri dan ada di antara mereka hanya menumpang di atas tanah milik orang lain.

Katanya, ada yang hanya menyewa sebuah rumah yang kecil dengan bilangan ahli keluarga yang ramai.

“Atas inisiatif ini, sebagai wakil rakyat, saya mengambil keputusan untuk membeli tanah ini untuk diwakafkan dengan dibahagi-bahagikan kepada golongan-golongan asnaf, fakir dan miskin dengan keluasan kira -kira 130.06 meter persegi sebagai tapak rumah untuk satu keluarga yang layak.

“Kelulusan golongan asnaf ini untuk memiliki satu lot tapak rumah adalah berdasarkan kelulusan dari pihak Baitulmal kerana pihak Baitulmal yang akan membina rumah mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Muhamad Izhar Abdullah, 33, bersyukur dengan usaha Razman dan diberitahu mereka layak untuk menerima satu lot tanah sebagai tapak rumahnya.

Menurutnya, dia tinggal menyewa dengan bayaran RM100 sebulan dan hanya itu yang mampu disediakannya sebagai tempat teduh untuk isteri dan enam orang anaknya.

Katanya, dia hanya bekerja sebagai nelayan darat di Kolam Bukit Merah di sini manakala isteri, Norizatul Akma Abdullah menjual serunding halia mengikut tempahan.

“Pendapatan purata kami berdua hanya kira -kira RM1,500 sebulan, wang itulah yang digunakan untuk perbelanjaan sekolah anak, perbelanjaan harian serta membayar sewa rumah dan bil utiliti.

“Kami tidak mampu membeli tanah sebagai tapak rumah namun hari ini kami menerima berita gembira selepas diberitahu kami layak untuk dapat lot tapak rumah di atas tanah yang dibeli oleh Razman,” katanya. -UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo