NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PUM sokong darurat untuk kemaslahatan ralyat



PERSATUAN Ulamak Malaysia (PUM) mengikuti perkembangan Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang dizahirkan pada hari ini.

PUM menjunjung kasih di atas perkenan Tuanku memproklamasi darurat ini yang menjadi usaha untuk membendung penyebaran COVID-19 di dalam negara. Sesungguhnya tindakan ini amat wajar sebelum keadaan menjadi lebih parah dan tidak terkawal.

PUM juga mengucapkan syabas di atas tindakan pihak kerajaan yang memandang serius peningkatan kes COVID-19 ini yang mencatatkan kes yang tinggi setiap hari. Keprihatinan pihak kerajaan dengan sikap menunjukkan sikap berani untuk menangani virus ini adalah sesuatu yang memang diperlukan.

PUM percaya tindakan ini adalah untuk kepentingan rakyat jua. Sudah tentu ia menjadi tanggungjawab kerajaan tidak kira siapa sahaja yang memerintah, untuk mengambil tindakan sewajarnya agar rakyat tidak menjadi mangsa pandemik yang sedang melanda dunia.

Walaupun keputusan ini sukar bagi sesetengah pihak, namun kita tidak mempunyai banyak pilihan. Awlawiyat atau keutamaan kerajaan sekarang adalah memastikan keadaan tidak bertambah parah dan memastikan rakyat selamat.

Ketika kita dikhabarkan dengan adanya vaksin serta adanya komitmen kerajaan untuk mendapatkan vaksin tersebut, langkah pencegahan mesti dilakukan terlebih dahulu bagi mengawal keadaan sehinggalah terdapatnya bukti menunjukkan berlaku penurunan ketara jangkitan COVID-19.

Dalam keadaan 6 negeri dikenakan perintah PKP, 6 negeri PKPB dan 2 negeri PKPP, kegiatan ekonomi asas masih lagi boleh berjalan. Mudah-mudahan dalam keadaan sukar ini kita berjaya menangani COVID-19 dan rakyat dapat kembali menjalankan aktiviti sepertimana sebelum PKP dilaksanakan.

Kami melihat inilah yang diajarkan oleh agama Islam apabila berdepan dengan sesuatu perkara seumpama ini, iaitu: al-Wiqayah Khairun min al-‘Ilaj, bermaksud mencegah lebih baik dari mengubati. Ada juga beberapa kaedah Fiqh yang sememangnya menjelaskan tindakan yang boleh diambil, antaranya: Dar’ul Mafasid muqaddam min Jalbul Masalih, bermaksud: menghilangkan sesuatu keburukan lebih diutamakan daripada menjalankan sesuatu kebaikan.

Oleh yang demikian, PUM menyanjung tinggi titah Tuanku dan mengucapkan syabas di atas keprihatinan kerajaan untuk mengutamakan kemaslahatan rakyat, terutamanya dalam menjaga nyawa masyarakat Malaysia daripada terdedah kepada ancaman bahaya.

Kita tidak boleh berdalih lagi dalam usaha memutuskan rangkaian COVID-19. Setiap lapisan masyarakat perlu serius dan bekerjasama dengan mematuhi segala Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.

Teruskan solat hajat dan berdoa, semoga Allah S.W.T memudahkan urusan KDYMM Tuanku, para pemimpin, seluruh rakyat Malaysia dan kita semua.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

DATO’ AL-SYEIKH ABDUL HALIM ABDUL KADIR
Yang di-Pertua,
Persatuan Ulamak Malaysia


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo