KUALA LUMPUR, 13 Jan -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) memberi jaminan kepada semua pemegang polisi bahawa darurat di seluruh negara yang dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos tidak akan memberi impak kepada obligasi kontrak polisi insurans hayat.
Tuntutan akan dibayar mengikut terma dan syarat seperti yang dinyatakan dalam polisi mereka, kata Presiden Loh Guat Lan.
“Pemegang polisi dan ahli keluarga mereka boleh terus menghubungi syarikat insurans masing-masing memandangkan langkah-langkah bantuan mungkin berbeza antara satu syarikat insurans dengan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Loh berkata persatuan itu, bersama 16 syarikat ahlinya, telah mengambil beberapa langkah bantuan untuk mangsa banjir bagi mengurangkan beban akibat bencana banjir baru-baru ini di beberapa negeri termasuk Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak dan Johor.
Antara langkah-langkah tersebut adalah penyusunan semula mod pembayaran premium daripada tahunan kepada bulanan, melanjutkan tempoh kelonggaran untuk pembayaran premium, mengurangkan atau mengecualikan pembayaran faedah untuk pinjaman polisi dan pinjaman premium automatik, dan pengecualian kos percetakan untuk penggantian polisi atau kad perubatan.
"Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, LIAM sangat prihatin dan kami memahami penderitaan dan kerugian yang dialami oleh mangsa banjir. Kami percaya bahawa langkah-langkah ini akan membantu meringankan beban mereka dan membantu mereka kembali berdiri," katanya.
Pemegang polisi dan ahli keluarga mereka dinasihatkan untuk menghubungi syarikat insurans masing-masing untuk mendapatkan bantuan lebih lanjut.
-- BERNAMA
No comments
Post a Comment