KOTA KINABALU: Pengisytiharan proklamasi darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, kelmarin membawa mesej yang jelas mengenai situasi getir dihadapi negara ketika ini.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata gelombang baharu penularan COVID-19, bencana banjir dan keadaan politik negara yang tidak stabil mengundang kebimbangan rakyat.
Katanya, peningkatan kes baharu COVID-19 setiap hari dengan yang tertinggi 3,309 kes kelmarin, menambahkan lagi kebimbangan sedia ada rakyat negara ini.
"Pengisytiharan dari Istana ini membawa mesej jelas: Kita harus segera henti berpolitik dan tumpukan perhatian kepada bencana yang menimpa rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan proklamasi darurat yang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos depan selepas memperkenankan cadangan kerajaan dalam usaha menangani pandemik COVID-19.
Bermula semalam pula, Sabah bersama Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) sekali lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari sehingga 26 Januari ini.
Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, turut menyambut baik pengumuman kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersetuju dengan keputusan untuk menguatkuasakan PKP itu.
"Sabah adalah antara negeri paling teruk diancam gelombang baharu COVID-19 ini. Sejak bermulanya 2021, kita merekodkan antara 200 hingga 400 kes baharu setiap hari.
"Ketika pelaksanaan PKP yang pertama pada Mac tahun lalu, rakyat Sabah bersama berganding bahu dan berjaya melandaikan lekuk jangkitan seawal Mei tahun sama.
"Kita berhadapan dengan cabaran lebih besar kali ini, namun saya percaya kita boleh berjaya sekali lagi sekiranya kita bersatu dan terus mengamalkan penjarakan fizikal, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP dan arahan proklamasi darurat," katanya.
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu turut menggesa rakyat Sabah tidak panik, sebaliknya terus tabah menghadapi cabaran kali ini.
"Hindarkan menyebarkan berita palsu dan bersikap proaktif serta peka terhadap perkembangan semasa," katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/776111/proklamasi-darurat-mesej-jelas-situasi-getir-dalam-negara
No comments
Post a Comment