NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kemudaratan COVID-19 dan PRU-15.


ISLAM sememangnya memandang tinggi kepada siasah sebagai tunjang untuk menegakkan Islam sebagai cara hidup dan mengurus hal ehwal dunia dengannya.

Sejak kewafatan Rasulullah SAW, urusan kepimpinan ummah sememangnya menjadi agenda yang segera dan penting. Kepimpinan yang kuat, adil dan amanah adalah tuntutan utama demi keamanan sejagat ke arah keredaan Allah SWT.

Perlembagaan Malaysia juga membenarkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN), sebelum genap 5 tahun.

Di seluruh dunia, sememangnya beberapa siri pilihan raya telah diadakan sepanjang tahun 2020 atas tuntutan demokrasi berperlembagaan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan iklim politik kebelakangan ini, pastinya wujud desakan untuk mendapatkan mandat yang segar bagi memerintah negara.

Namun, Lajnah Kesihatan PAS Pusat mengajak seluruh rakyat Malaysia, terutamanya pimpinan politik supaya melihat kepada gambaran yang lebih besar membabitkan isu yang dekat pada hati rakyat pada masa kini iaitu wabak COVID-19 dan juga bencana alam banjir.

Memandangkan pola peningkatan berterusan, jangkitan yang berlaku di dalam komuniti dan kenaikan kes kematian, adalah sangat berisiko tinggi untuk melangsungkan pilihan raya tanpa berlakunya lebih banyak kes dan kemudaratan kepada perkhidmatan perubatan.

Banjir juga mempunyai kesan yang mendalam kepada sosioekonomi, fasiliti dan kemudahan infrastruktur dan juga berupaya menjadi punca kepada wabak penyakit bawaan air.

Jika dilihat kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang berlangsung pada 26 September 2020, boleh dilihat dengan jelas berlaku peningkatan yang mendadak selepas pilihan raya diadakan.

Bermula dari kempen pilihan raya, penamaan calon dan pembuangan undi, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kenaikan jangkitan COVID-19 selepas sesebuah pilihanraya.

Walaupun SPR memperkenalkan SOP sewaktu berkempen dan membuang undi, ternyata ia tidak cukup. 

Council on Foreign Relations (CFR), sebuah badan pemikir bebas di Amerika Syarikat melalui sebuah penerbitan bertajuk “How Countries Are Holding Elections During The COVID-19 Pandemic” melaporkan bahawa isu peruntukan atau kos pilihan raya, faktor teknikal dan logistik, bilangan pengundi yang berkurang dan keabsahan pilihan raya menjadi permasalahan yang terpaksa dihadapi.

Selain PRN Sabah, pilihan raya yang diadakan di negara seperti Belarus, Poland, Serbia dan Singapura mencatatkan kenaikan kes COVID-19. Di antara negara yang berjaya menjalani pilihan raya dan pada masa yang sama berjaya mengawal perebakan ialah Korea Selatan.

Pilihan raya di Korea Selatan diadakan di bulan April 2020 Dan Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan September 2020. Semua langkah pencegahan yang dilakukan di Korea Selatan telah juga dilakukan di Sabah. Penutup muka, penjarakkan fizikal satu meter, sanitasi tangan dan isolasi pesakit.

Namun, keduanya menghasilkan natijah yang berbeza. Penyebab utama yang boleh kita fikirkan ialah disiplin di dalam mematuhi segala peraturan yang ditetapkan terutamanya dalam kalangan pemimpin politik di kedua-dua belah pihak. Dan yang kedua ialah pilihan raya Sabah dilakukan ketika kes COVID-19 sedang meningkat di Sabah.

Dari segi kos pilihan raya, perbelanjaan pilihan raya di Amerika Syarikat dijangka mencecah 4 bilion USD. Peraturan pilihan raya yang diperketat seperti keperluan memakai penutup muka di tempat mengundi, pemeriksaan suhu, penjarakan fizikal, perkhidmatan nyahkuman, pembuangan undi secara berperingkat serta pengundian melalui pos menyebabkan peningkatan yang ketara kepada kos pilihan raya yang ditanggung oleh sesebuah negara.

Di antara kerisauan terbesar dalam kalangan pakar pilihan raya adalah mengenai bilangan rakyat yang keluar mengundi. Masyarakat umum menyedari bahawa jangkitan COVID-19 boleh berlaku dengan mudah, walau tiada gejala.

Walau bilangan jangkitan mungkin menurun selepas perintah kawalan pergerakan, namun peratusan yang keluar mengundi masih tetap terjejas disebabkan kerisauan terhadap risiko jangkitan COVID-19.

Petugas pilihan raya yang terlibat juga akan terdedah kepada risiko jangkitan, terpaksa bekerja melebihi skop bidang tugas yang biasa serta tidak dapat berfungsi secara optimum disebabkan perubahan prosedur, rasa cemas, takut dan sebagainya.

Malah, negara-negara seperti Trinidad & Tobago, Malawi, Republik Dominican dan Macedonia Utara mengalami penurunan peratusan pengundi sebanyak 9 sehingga 15 peratus. Penurunan bilangan pengundi ini akan menimbulkan implikasi kepada keabsahan sesebuah pilihan raya.

Selain itu, usaha untuk meningkatkan daya ketahanan kelompok (herd immunity) melalui vaksin COVID-19 tidak boleh dilihat sebagai jalan pintas kepada pilihan raya.

Perlu disedari bahawa proses vaksinasi itu sendiri memakan masa dan melibatkan perbelanjaan wang ringgit dan bakal menelan masa, keringat serta buah fikiran yang tidak sedikit.

Malah, ingin dijelaskan di sini bahawa, walaupun perlindungan kepada individu bermula dua minggu sehingga sebulan selepas dos kedua vaksin diberikan, untuk mencapai daya ketahanan kelompok memerlukan sehingga 70 ke 80 peratus rakyat menerima vaksin.

Maka, ini memakan masa. Di Amerika Syarikat sekalipun, Dr Anthony Fauci menjangkakan mereka perlu menunggu sehingga September 2021 untuk membina daya ketahanan kelompok.

Oleh itu, pimpinan politik dan kerajaan berhadapan dengan cabaran yang besar dan berat jika pilihan raya diteruskan dalam keadaan wabak COVID-19. Pilihan raya sewaktu wabak adalah mahal harganya dari segi wang ringgit, integriti dan nyawa rakyat itu sendiri.

Langkah yang paling selamat adalah untuk bersatu hati mengurus kemaslahatan rakyat terlebih dahulu. Adalah lebih wajar sekiranya wabak COVID-19 dan bencana alam banjir menjadi medan untuk berbakti kepada rakyat, nescaya rasa hormat dan percaya kepada pimpinan politik akan hadir sendirinya, apabila tiba masanya nanti. 

DR MOHD MAZRI YAHYA,
Lajnah Kesihatan PAS Pusat.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo