NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jawapan Bagi Yang Mempertikai Keabsahan Kerajaan

oleh: DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Gombak, Selangor
14 Januari 2021



Ada yang mempertikaikan proklamasi darurat oleh Yang Di-Pertuan Agong dengan alasan kononnya kerajaan dan Perdana Menteri sekarang tiada keabsahan atau tidak sah. Asas yang diberikan ialah kerana Perdana Menteri tidak mempunyai sokongan majoriti. Apakah dakwaan ini benar dan berasas? 

Perlembagaan menyediakan peraturan berkaitan pelantikan dan penamatan jawatan Perdana Menteri. Pelantikan Perdana Menteri oleh Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) melalui Perkara 43(2), manakala penamatan jawatan Perdana Menteri adalah apabila berlaku pilihan raya umum selepas pembubaran Parlimen di bawah Perkara 55 atau 43(4), atau apabila beliau meletakkan jawatan sama ada kerana hilang sokongan majoriti di bawah Perkara 43(4) atau kerana sebab-sebab lain. Dalam realiti yang berlaku kini tidak ada satu situasi pun yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri sedia ada, iaitu Tan Sri Muhyidin Yasin telah menamatkan jawatannya menurut Perlembagaan.

Fakta bahawa beliau kehilangan sokongan majoriti belum menyebabkan secara automatik jawatannya terlucut. Perlembagaan menyebut dua pilihan bagi seorang Perdana Menteri hilang sokongan kepercayaan iaitu sama ada meletakkan jawatan atau memohon pembubaran dewan. 

Apabila kedua-duanya tidak dilakukan, ia tidak bermakna bahawa kerajaan sekarang sudah hilang keabsahan. Hal ini boleh disandarkan kepada beberapa faktor:

(1) Pengisytiharan darurat oleh YDPA di bawah Perkara 150 melalui nasihat PM dan Kabinet menunjukkan secara tersirat bahawa Baginda masih mahu Perdana Menteri meneruskan tugasnya.

(2) Realiti bahawa tiada mana-mana ahli Dewan Rakyat lain yang mempunyai kepercayaan majoriti sekurang-kurangnya 111 bilangan ahli. Calon terdekat iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim hanya memiliki 91 sokongan.

(3) Kesukaran untuk mengumpulkan sokongan bagi mencukupkan kepercayaan majoriti kerana perbezaan pendapat. Perletakan jawatan Perdana Menteri sekarang akan mengheret negara kepada kecelaruan politik yang berpanjangan.

(4) Realiti bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) belum sesuai diadakan kerana wabak Covid-19.

Berdasarkan fakta diatas, maka sebarang bentuk pertikaian ke atas keabsahan kerajaan sedia ada adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Perdana Menteri dan anggota kabinet sekarang adalah pasukan yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong. Sokongan dan kepercayaan majoriti pernah dibuktikan melalui beberapa undian di Parlimen. 

Oleh yang demikian, kerajaan sedia ada adalah kerajaan yang sah menurut Perlembagaan sejak dari awal.

Bila wujud beberapa anggota Parlimen menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri sehingga jumlah sokongan kurang dari satu perdua, maka dalam keadaan biasa seseorang Perdana Menteri itu akan meletakkan jawatan atau memohon membubarkan Parlimen.

Tetapi, jika Perdana Menteri sekarang melakukan tindakan sedemikian, dalam realiti wabak dan politik semasa, maka ia boleh menjurus kepada mudarat yang lebih besar iaitu risiko lonjakan wabak Covid-19 dan risiko kecelaruan politik. Saya percaya langkah yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri sekarang adalah berteraskan prinsip maslahah dan ia satu usaha untuk mengelak mudarat yang lebih besar.

Langkah ini juga dilaksanakan melalui amalan syura iaitu selepas berunding dengan Kabinet dan YDPA. Manakala YDPA pula berunding dengan banyak pihak termasuk Majlis Raja-Raja dan tokoh-tokoh utama yang bukan dari suara politik seperti Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki bin Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus bin Harun; Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Haji Affendi bin Buang; Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid bin Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham bin Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani bin Salleh.

Jika YDPA ingin menolak permohonan Perdana Menteri, maka Baginda boleh melakukan demikian, sebagaimana yang dilakukan pada 25 Oktober 2020 yang lalu dalam permohonan darurat pertama oleh Tan Sri Muhyidin selaku Perdana Menteri. 

Oleh itu, tidak perlulah mempertikaikan keputusan yang dibuat ini, dan berikan fokus kepada usaha untuk mengeluarkan negara dari belenggu Covid-19, kesempitan hidup rakyat dan cabaran ekonomi.
Perlu dinyatakan juga bahawa pihak pembangkang tetap diberikan peranan untuk menentukan tempoh pelaksanaan darurat melalui keanggotaan dalam Jawatankuasa Khas Bebas. 

Apa yang penting jawatankuasa ini bersifat bebas tanpa dikuasai oleh badan eksekutif, dan diberi peranan untuk membuat syor terus kepada YDPA tanpa melalui Perdana Menteri. Jawatankuasa ini membuat keputusan berteraskan faktor kesihatan awam, prinsip demokrasi dan kemampuan jentera penguatkuasaan, bukannya faktor kepentingan politik kepartian.

Ayuh! kekal tenang. Moga Allah memberikan rahmat dan ketenangan dalam hati seluruh rakyat agar dapat bersatu dalam menghadapi saat-saat yang sukar ini. Dengan rahmat Allah, moga kita semua dapat keluar dari ujian dan cabaran yang melanda ini pada kadar yang segera.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo