NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jaringan digital negara distruktur semula bantu PdPR




JARINGAN digital negara telah distrukturkan semula untuk memenuhi permintaan baharu daripada pengguna Internet dan data mudah alih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pengerusinya, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, setakat ini, jaringan itu telah stabil sejak kebanyakan orang bekerja dari rumah dan pelajar mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

"Kami melakukan tinjauan selama kira-kira dua bulan selepas PKP 1.0 bermula pada Mac 2020, dan mendapati peningkatan trafik Internet adalah melebihi 30 peratus.

"Justeru, ini mendorong MCMC menyelaraskan Makmal Infrastruktur Digital Negara yang akhirnya mewujudkan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) pada Ogos tahun lepas," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program The Nation terbitan Bernama TV yang disiarkan hari ini.

Program yang dihoskan oleh Jessy Chahal itu mengupas tajuk 'The Way Forward With PdPR'.

Memetik laporan Opensignal, Fadhlullah berkata kelajuan Internet untuk jalur lebar tetap dan jaringan mudah alih di negara ini adalah stabil, dengan perkhidmatan Internet tetap pada purata 88Mbps manakala jaringan mudah alih mencapai purata 26Mbps.

Oleh itu, beliau menggalakkan mereka yang bekerja dari rumah dan mempunyai anak-anak yang mengikuti PdPR supaya menggunakan Internet jalur lebar tetap berbanding dengan jaringan data mudah alih untuk kesambungan yang lebih baik.

"Saya ingin menarik perhatian ramai bahawa apabila anda bekerja di rumah, gunakanlah perkhidmatan jalur lebar tetap bersama-sama WiFi di rumah anda, yang memudahkan pergerakan anda di rumah (untuk bekerja)," katanya.

Sementara itu, dalam The Nation, Fadhlullah berkata proses gentian optik amat penting dalam menyediakan jaringan yang dapat bertahan dalam jangka panjang.

Beliau berkata setakat ini hanya 5.4 juta premis atau 60 peratus daripada sembilan juta premis di negara ini telah mempunyai sambungan gentian optik, manakala 40 peratus lagi akan dilakukan dalam tempoh empat tahun akan datang.

"Dalam empat bulan lepas, kita telah meningkat dengan 400,000 premis dan tahun ini kita menyasarkan 1.2 juta premis lagi.

"Sasaran kita adalah sejumlah 7.5 juta premis mempunyai sambungan gentian optik pada akhir tahun depan, yang akan mencakupi 85 peratus premis," katanya.

Beliau berkata ia adalah proses yang mempunyai masa yang panjang dan spektrum itu sendiri juga terhad.

"Justeru, kita sentiasa meningkatkan usaha, dan jika kita berjaya melaksanakannya, sekurang-kurangnya tahap infrastruktur kita adalah hampir dengan apa yang kita lihat di Korea Selatan atau Singapura," katanya.

Ketika ditanya mengenai pihak yang mengkritik pelan itu, Fadhlullah berkata beliau tidak mengatakan sama ada pelan itu baik atau teruk, sebaliknya ia berasaskan bukti dan dipacu data.

"Seperti semua perancangan, akan sentiasa ada pihak yang tidak menyokongnya sehinggalah hasilnya dapat dilihat. Bagi saya hari ini, saya terbuka atas semua pandangan sama ada baik, teruk dan buruk," katanya.

Jendela dirangka untuk memberi liputan yang lebih meluas dan pengalaman kualiti jalur lebar yang lebih baik untuk rakyat, sebagai langkah siap siaga negara untuk beralih kepada teknologi 5G.

Ia dilaksanakan dalam dua fasa dengan fasa pertama bagi meningkatkan liputan 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus selain meningkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25 Mbps kepada 35 Mbps.

Usaha menamatkan rangkaian 3G, menaik taraf rangkaian 4G dan gentian optik serta menyasarkan 83 peratus premis di seluruh negara akan mendapat akses jalur lebar tetap dengan kapasiti gigabit juga dijalankan pada fasa pertama bermula 2020 hingga 2022.

Bagi fasa kedua (2022 dan berikutnya) pula melibatkan penggunaan akses tetap tanpa wayar dan teknologi lain yang bersesuaian bagi menangani jurang digital selain menyasarkan pelaksanaan 5G.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo