NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ilmuwan Dalam Tamadun Islam Itu Dipandang Tinggi

oleh: Prof 
Abdullah Hassan

Pada zaman kegemilangan Islam, para ilmuwan sangat dimuliakan. Mereka bukan sekadar diberi kebebasan menggunakan perpustakaan, tetapi keperluan mereka sentiasa dijaga. Dalam sesetengah hal, makan minum, peralatan menulis, dan wang perbelanjaan. Dan penginapan disediakan untuk mereka yang datang dari jauh mahu mencari ilmu.

Ibnu Abbad di Farsi, bukan sekadar membenarkan perpustakaannya yang termasyhur pada zaman itu digunakan dengan bebas, tetapi setiap ilmuwan diberi 1,000 dirham dan pakaian lengkap dalam usaha menggalakkan mereka mempelajari ilmu. Perpustakaan Ibnu Hamdan di Mosul, dibuka kepada semua pelajar, dan pelajar miskin diberi kertas. Perpustakaan Adud-al-Dawlah di Basrah dibuka kepada semua rakyat. Sarjana yang membaca dan menyalin buku diberi biasiswa. Di Isfahan, perpustakaan Khuda Bukhsh dibina oleh seorang hartawan supaya digunakan oleh pelajar. Ibnu Hibban, qadi Nishapur mewakafkan rumah dan perpustakaannya kepada majlis perbandaran kota Nishpur. Di dalam rumahnya itu disediakan tempat tinggal pelajar dari luar negara. Dia juga memberi biasiswa kepada mereka.

Yaqut al-Hamawai, seorang ahli geografi meriwayatkan dia pernah tinggal di Marv, Farsi. Semasa dia di situ dia dibenarkan menggunakan perpustakaanya secara berleluasa. Dia meminjam lebih daripada 200 buah buku pada setiap masa, tetapi tidak pernah diminta memberi cagaran walaupun nilai bukunya lebih daripada 200 dinar. Al-Maqrizi pula menceritakan, di Akademi al-Hakim, pelajar miskin diberi kertas, dakwat, botol dakwat, pena, dan biasiswa. Malah al-Hakim menyediakan peruntukan lebih dari 200 dinar bagi menyenggara perpustakaan, termasuk membeli kertas, dakwat, dan pena untuk ilmuwan dan penyalin buku. Peruntukan juga disediakan bagi membaik pulih buku-buku lusuh.

Al-Maqrizi juga membuat catatan dalam riwayatnya bahawa wanita juga diberi peluang belajar di perpustakaan-perpustakaan itu. Kalifah al-Hakim II, pula menubuhkan perpustakaan di Kordova, dan beliau membekalkan semua buku yang boleh dibeli dari seluruh dunia Islam. Semua orang yang ingin belajar diterima menggunakan perpustakaan itu. Pelajar miskin diberi biasiswa oleh al-Hakim. Bahkan Kalifah al-Hakim sendiri adalah seorang sarjana, yang membaca semua buku di perpustakaannya. 

Demikianlah mulianya para ilmuwan di mata pemimpin Islam. Setiap sarjana diberi ganjaran lumayan. Dia tidak perlu terkial-kial mencari sara hidup untuk belajar atau mengusahakan penyalinan dan penulisan buku-buku ilmiah. Ini adalah suatu kemudahan besar pada masa itu. Perlakuan yang sangat mulia terhadap para ilmuwan itu telah membantu menyuburkan perkembangan ilmu. Sikap dan tindakan yang menyokong ini telah membantu menyuburkan pembinaan kepustakaan Islam dalam bahasa Arab.
Amalan membuka perpustakaan kepada ilmuwan sangat bertentangan dengan yang kita lakukan sekarang. Pada masa ini ilmuwan, walaupun profesor, apabila bersara diminta memulangkan semua barangan universiti termasuk kad perpustakaan. Mereka tidak lagi boleh menggunakan perpustakaan universitinya. Dalam sehari, mereka kehilangan sumber ilmunya. Mereka tidak lagi dapat menggunakan perpustakaan jikalau mahu membaca supaya dapat mengayakan khazanah ilmunya. Pada masa dia menjadi lebih matang sebagai ilmuwan, dia tidak lagi diberi kemuliaan sebagai ilmuwan. 

Pendapatannya daripada pencen akan menurun menjadi sekitar seperempat daripada pendapatan asalnya. Amalan begini tidak lagi memuliakan ilmu dan ilmuwan, dan tidak menggalakkan lagi mereka menjadi produktif.

Ada amalan dalam tradisi Islam yang tidak kita amalkan sekarang. Kita boleh belajar daripada amalan itu. Penulis buku ilmu, harus dapat hidup dengan usaha yang dijalankannya. Sekiranya ini tidak berlaku, pihak berwajib harus menampung segala kekurangan itu bagi menjamin usaha itu dijalankan.

Kita dapat melihat dua fasa penting dalam membina kepustakaan dan menjana ilmu secara kreatif yang berlaku dalam empayar Islam. Pertama, ilmu diterjemah dan diserap ke dalam bahasa Arab. Kedua, apabila mereka sudah menyerap ilmu daripada Yunani dan Latin, maka ini dikuti dengan perkembangan fasa kreativiti mereka. Wujudlah ilmuwan Islam yang membina ilmu dalam bahasa Arab untuk orang Islam.

Gambar disalin daripada internet

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo