oleh: ZAKARIA ISMAIL
Marang, 8 Januari 2021
MUKADDIMAH
Sudah hampir setahun kita pada era Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ada PKPD, PKPB dan PKPP. Semuanya rentetan daripada pandemik virus COVID-19 yang tiba-tiba ganas melanda dunia, setelah ia bermula di Wuhan, China secara rasminya pada Disember 2019.
Virus ini mencetuskan jangkitan dengan cara yang amat sukar ditangani, walaupun oleh kerajaan yang besar ataupun institusi perubatan yang terkemuka.
Sehingga 7 Januari 2021, kes kematian disebabkan oleh virus ini di seluruh dunia hampir mencecah dua juta kes, iaitu sebanyak 1, 899, 780 orang. Di Malaysia, kes kematian telah mencecah 521 kes. Jumlah keseluruhan kes di seluruh dunia direkodkan sebanyak 88, 112, 810 kes setakat tarikh tersebut.
RISIKO DAN SIMTOM YANG DIHADAPI OLEH PESAKIT YANG DIJANGKITI WABAK INI
Pesakit yang dijangkiti virus Corona ini berhadapan risiko kerosakan paru-paru, jantung dan otak yang akan memberikan kesan kepada isu-isu kesihatan jangka panjang mereka. Simtom-simtomnya pula boleh berpanjangan sehingga berbulan-bulan.
Antara simtom-simtom yang biasa dihadapi oleh mereka ialah demam panas, batuk teruk dan keletihan melampau. Simptom yang lebih serius ialah kemampuan bernafas yang 'lebih pendek', sakit dada, batuk yang teruk, sakit sendi dan ada juga yang sampai kehilangan deria bau dan rasa.
Pesakit yang diuji positif Covid-19 akan dimasukkan ke dalam wad pengasingan dengan kawalan ketat. Ada yang lebihbcepat sembuh daripada yang lain, ada yang bergelut untuk kembali sembuh dan ada juga yang tidak mampu lagi untuk pulih seperti biasa. Umumnya ia bergantung kepada tahap sistem pertahanan tubuh seseorang pesakit yang melibatkan umur pesakit dan adakah mereka penghidap penyakit kronik ataupun tidak.
COVID-19 MASIH TIADA UBAT ATAU VAKSIN SPESIFIK UNTUK MERAWATINYA
Sehingga kini, tiada ubat spesifik yang telah ditemui untuk melawan virus ini secara tuntas.
Namun begitu ada rangkaian beberapa ubatan khusus yang masih boleh diberikan oleh pihak hospital untuk merawat pesakit Covid-19 berdasarkan kategori umur dan kategori-kategori lain yang lebih spesifik. Doktor juga turut merawat simptom yang dialami oleh mereka. Oleh itu pesakit yang berada di dalam rawatan perlu sentiasa diletakkan di bawah pemerhatian doktor. SOP rawatan ini telah menghasilkan kes sembuh yang signifikan dalam banyak kes.
Begitu juga vaksin, ia pun masih dalam peringkat pencarian dan percubaan. Walaupun ada vaksin yang telah mula dipasarkan setelah diperakui oleh sesetengah pihak berotoriti, namun masih ada 'persoalan' yang masih belum terungkai secara tuntas mengenai tahap keberkesanannya.
Selain daripada itu, akses untuk mendapatkan bekalan vaksin daripada negara pengeluar memerlukan kita 'beratur panjang' seperti SOP untuk kita masuk ke gedung-gedung membeli belah.
RISIKO YANG DIHADAPI OLEH DOKTOR, JURURAWAT DAN BARISAN KAKITANGAN HADAPAN HOSPITAL
Turut menggerunkan juga ialah para doktor, jururawat dan staf hospital yang terlibat secara langsung dalam proses merawat pesakit Covid-19 pula, turut sama-sama berada dalam lingkungan 'bahaya jangkitan'. Di mana mereka sentiasa terdedah kepada keboleh-jangkitan yang berasal daripada pesakit yang dirawat, jika tidak mengikuti SOP yang ketat.
Demikian juga petugas 'frontliners' yang terdiri daripada pihak keselamatan dan penguatkuasaan seperti Polis, Tentera, Rela dan penguat kuasa KKM yang berhubung langsung dengan pesakit dan kontak rapat mereka. Termasuk juga para sukarelawan yang terlibat dalam proses-proses tersebut.
Mereka bekerja di 'pusat bencana' dalam 'zon bencana'. Mereka bekerja di pusat risiko.
NORMA BARU KEHIDUPAN SOSIAL
Norma hidup bermasyarakat telah dipaksa berubah hampir 180 darjah, jika tidak 360 darjah pun. Ia terpaksa dilakukan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Majlis-majlis sosial berbentuk keramaian, jamuan, ziarah, kempen dan bersalaman terpaksa diminimakan ke tahap yang paling maksima. Himpunan orang ramai dalam majlis keagamaan, aktiviti politik, keceriaan dan sukan turut dikenakan SOP yang melibatkan penjarakkan fizikal, pemakaian penutup muka dan mengelakkan sebarang unsur sentuhan yang tidak perlu.
Sebelum ini, aktiviti sosial sebegitulah amat digalakkan bagi mengukuhkan ikatan perpaduan, kecaknaan dan kebersamaan sesebuah masyarakat yang harmoni.
Inilah disebut sebagai 'norma baru'.
MALANGNYA INILAH KESIMPULAN YANG KITA BERJAYA RUMUSKAN DARIPADA PANDEMIK INI
Setelah memahami fakta di atas, rumusan kita adalah seperti berikut;
1. Kerajaan PN takut tumbang jika mengadakan pilihanraya umum secepat mungkin. Sebab itulah PKP selalu dilanjutkan, kita ditakutkan dengan wabak Covid-19.
2. Banyak negara demokrasi yang mengadakan pilihanraya umum pada musim Covid-19, kenapa Malaysia tak boleh? Secepat itu kita lupa tentang Pilihanraya Negeri Sabah yang mencetuskan lebih banyak jangkitan Covid di Sabah, dan kemudian di Selangor.
3. Mendesak PM supaya mengadakan pilihanraya umum dalam tempoh sebulan. Jika tidak 'saya' letak jawatan.
4. Mendesak PM supaya segera mengadakan pilihanraya umum sebelum suku pertama tahun ini. Jika tidak, kami keluar PN.
5. Kembalilah kepada ubatan herba. Walhal, semua ubat dan bahan sedang dikaji dan diteliti oleh pelbagai pihak dalam menyelesaikan pandemik ini, termasuk herba-herba daripada Nusantara.
6. Ubatilah Covid-19 dengan 'pemakanan Sunnah'. Walhal dakwaan 'pemakanan Sunnah' yang dijenamakan secara mudah oleh pihak-pihak tertentu pada hari ini, dibuat tanpa melihat skop penggunaannya oleh baginda Rasulullah SAW. Sama ada penggunaannya sebagai makanan sahajakah, atau sebagai suplemenkah atau sebagai ubat untuk penyakit tertentu atau semua penyakit secara umum. Adakah ia sesuai kepada semua atau golongan tertentu sahaja?Dan apakah dos rawatan, jika digunakan sebagai ubat? Jika dicuba, dan tidak berjaya, apakah pemboleh ubah yang menghalang kejayaan itu? Jika ada kajian klinikal tentang penggunaannya sebagai bahan ubat seperti itu, ia tentulah amat dialu-alukan.
7. Masjid tak sepatutnya ditutup di kawasan zon merah. Sebabnya semua premis lain boleh dibuka dan dikunjungi. Kenapa tidak masjid?
8. Kenapa disenggangkan saf solat? Sepatutnya dirapatkan seperti biasa. Masjid tempat yang dipelihara oleh Allah SWT.
9. Kenapa banyak sangat SOP nak pergi ke masjid? Sepatutnya kita dialu-alukan untuk ke masjid, bukan ditakut-takutkan.
10. Satu dua dalil yang kita tahu, adalah lebih kuat daripada dalil-dalil yang dirumuskan oleh para ulamak yang mendalam ilmu mereka. Dalil pencegahan ulamak adalah terlalu melampau. Sadd Zara'ie tak patut diamalkan untuk orang ke masjid.
11. Sepatutnya kita cuba fikirkan juga, jika tiada SOP langkah kawalan jangkitan ke masjid, ada kemungkinan masjid-masjid menjadi kluster-kluster baru, sehingga tiada lagi yang berani ke masjid. Mungkin ketika itu baru hati kita puas. Pendapat dan fatwa para ulamak seluruh dunia adalah silap. Logik dan dalil kita adalah betul.
12. Virus ini tak ada kuasa. Virus ini lemah saja. Tuhan Yang Maha Berkuasa. Pandangan yang betul daripada hukum aqal yang zati, tidak betul daripada hukum adatnya. Walhal Tuhan mengajar kita mengambil kira hukum adat dalam mencapai cita-cita kita. Kerana sunnatullah di dalam alam ini, membuat sesuatu di sisi sebab musabab.
PENUTUP
Dan banyak lagilah kesombongan kita dengan pendapat dan kepentingan peribadi kita. Sehingga tidak ada maknanya kepada kita PKP selama hampir setahun, pengorbanan 'frontliners', ramainya yang diberhentikan kerja, kes semakin meningkat dengan kadar yang tinggi.
Bahkan kadar kematian hampir 2 juta orang di seluruh dunia juga, gagal menjadikan kita lebih objektif dalam berhadapan wabak Covid-19 ini.
Inna Lillaah wa Inna ilaihi raajiun!
No comments
Post a Comment