YB TAN SRI ANNUAR MUSA MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN
Tarikh: 6 Januari 2021 (Rabu)
1. Pada kira-kira pukul 12.36 tengahari semalam, Selasa 5hb Januari 2021, saya telah menerima berita dari pihak media bahawa saya telah dipecat dari jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional berkuatkuasa serta merta dan digantikan dengan Dato’ Seri Ahmad bin Maslan.
2. Mengikut Perlembagaan BN, Setiausaha Agung hendaklah dilantik oleh Pengerusi BN setelah berunding dengan Dewan Tertinggi BN untuk memegang jawatan selama 2 tahun bagi sesuatu pelantikan dan bertanggungjawab ke atas pentadbiran Barisan Nasional.
3. Saya telah dilantik sebagai SU BN oleh Pengerusi BN pada 16 Mac 2020 yakni 10 bulan yang lalu.
4. Bagi pihak diri saya, seya menerima keputusan YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN yang memecat saya dan saya telah memaklumkan kepada beliau semalam melalui aplikasi ‘whatsapp’ kira-kira jam 1.51 petang.
5. Untuk itu, saya mengucapkan terima kasih atas kesempatan berkhidmat sebagai Setiausaha Agung BN selama tempoh tersebut.
6. Saya sedar sebagai seorang SU Agung BN, saya dipertanggungjawabkan ke atas pentadbiran BN yang merangkumi gabungan empat (4) parti politik yang berbeza iaitu MCA, MIC,
UMNO dan PBRS. Pada masa yang sama, BN adalah anggota gabungan (coalition) parti-parti yang bergabung membentuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Justeru, adalah juga menjadi tanggungjawab saya untuk mewujudkan suasana harmoni dan hubungan baik antara parti-parti sahabat. Sedemikian, saya telah menjalankan tugas-tugas tersebut sebaik mungkin. Alhamdullilah.
7. Saya juga sedar, tugas sebagai SU Agung BN hanya boleh dilaksanakan dengan baik jika adanya perasaan saling meyakini dan mempercayai di antara Pengerusi dan SU Agung. Walaupun sememangnya wujud suasana sedemikian sebelum ini, namun sejak kebelakangan ini, suasana tersebut telah berubah berikutan beberapa perkara, peristiwa dan dasar yang menuntut saya mempertahankan Prinsip dan Pendirian Politik saya secara tegas dan berterus terang. Antaranya:
i. Sokongan secara hitam putih kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang dianggotai BN.
ii. Percubaan dan perundingan yang melibatkan DAP dalam apa yang diistilahkan Pembentukan Jajaran Baru Politik.
iii. Percubaan menggugat kestabilan Kerajaan PN berkali-kali yang menyebabkan terjejasnya hubungan baik terutamanya antara UMNO, PAS dan BERSATU yang merupakan Parti Teras yang telah mewujudkan Perpaduan Melayu dan Islam di negara ini.
iv. Situasi ‘flip-flop’ pimpinan khususnya Pengerusi BN dalam perkara-perkara dasar berhubung Muafakat Nasional (MN) sehingga berlaku kesamaran dan kekaburan dalam halatuju MN.
v. Seruan demi seruan untuk dibubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya dalam situasi rakyat menderita akibat penularan pandemik Covid-19 dan tekanan ekonomi yang sangat berat.
vi. Kegagalan pimpinan mewujudkan keharmonian dan ketertiban dalam parti, dimana berterusan bertelagah secara terbuka telah menyebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap visi yang dibawa oleh parti.
vii. Keputusan-keputusan parti seperti ‘NO DAP’, ‘NO ANWAR’, sokongan ‘en-bloc’ kepada kerajaan PN dan lain-lain telah tidak dihormati.
8. Saya istiqamah berpegang kuat kepada segala keputusan parti serta prinsip asas penubuhan parti iaitu menyatupadukan orang Melayu dan Umat Islam. Gabungan MN, BN dan PN telah membentuk muafakat yang sepatutnya diperkukuhkan. Namun apa yang telah berlaku telah mewujudkan keresahan dikalangan ahli dan menjejaskan reputasi parti. Parti dilihat telah diseret untuk mengikut agenda peribadi.
9. Perbezaan pendirian ini menuntut saya mengambil ketetapan untuk tidak bersekongkol dengan gerakan-gerakan yang tidak selari dengan keputusan rasmi MKT.
10. Dengan perbezaan prinsip ini, adalah lebih baik saya tidak bersubahat dengan halatuju Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Dengan tidak lagi menjadi SU Agung BN saya lebih bebas bertindak dan membuat pendirian politik mengikut hati nurani dan ‘conscience’ saya sendiri bersama rakan-rakan yang sealiran.
11. Justeru, saya dengan penuh redha menerima pemecatan ini dan berserah kepada Allah SWT. Saya akan terus berjuang atas wadah perjuangan UMNO dan akan terus menyumbang ke arah UMNO yang bermaruah, berintegriti dan kekal memimpin Penyatuan Ummah dan menunjangi permuafakatan nasional.
Penutup:
- Saya menyeru semua ahli UMNO merapatkan saf dan menjunjung tinggi dasar dan faslafah perjuangan parti.
- Kepada parti sahabat BN, PN, MN, GPS, GRS, berusahalah agar tiada perpecahan antara kita.
- Kepada kepimpinan PAS, saya harap kekal berjiwa besar dan tidak berputus asa berikhtiar untuk memperkukuhkan MN.
- Kepada kepimpinan BERSATU, fahamilah sensitiviti akar umbi UMNO dan mengambil langkah ke arah memperbaiki perpaduan Melayu.
- Kepada rakan-rakan 12 parti dalam PN, berusahalah agar tidak berpecah belah agar kerajaan ini stabil dan dapat menumpukan agenda keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Sekian.
TAN SRI ANNUAR MUSA
6 Januari 2021
Bersamaan 22 Jamadilawal 1441
Come on TSAM...M'sia ni Tanah Melayu asal namanya & UMNO adalah parti melayu pertama ditubuhkan. So, amatlah TIDAK SALAH langsung UMNO claim M'sia ni UMNO punya...nak kongsi dgn UMNO boleh tapi WAJIB ikut kata UMNO lah...WAJIB...
ReplyDelete