NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

10 Tahun Berlalunya Arab Spring: Iktibar dan Pengajaran Di Sebaliknya

Tahun ini genap 10 tahun berlakunya Arab Spring yang telah menggoncang politik Dunia Arab sehingga kesannya masih lagi dirasai sehingga ke hari ini.

Tunisia yang menjadi pencetus kepada kebangkitan ini adalah sebuah negara kecil dan tidak mendapat perhatian yang meluas dalam kancah politik Dunia Arab dan Dunia Islam secara umumnya.

Namun pada Januari 2011, negara kecil yang terletak di Utara Afrika ini mendapat perhatian dunia apabila seorang pemuda yang bernama Mohammad Al-Bu Azizi bertindak membakar dirinya kerana tekanan hidup apabila kereta sorong barang-barang perniagaan kecil miliknya dirampas oleh pihak berkuasa tempatan.

Peristiwa tersebut mengerakkan kebangkitan rakyat Tunisia yang sudah lama dikongkong kehidupannya di bawah pemerintahan regim Zainal Abidin Ben Ali yang memerintah Tunisia secara kuku besi selama 23 tahun.

Akhirnya setelah beberapa minggu demonstrasi aman diadakan, Zainal Abidin Ben Ali meletakkan jawatan dan melarikan diri ke Arab Saudi.

Hari ini politik Tunisia agak stabil di bawah kepimpinan Presiden Qais Said, seorang bekas ahli akademik berfikrah Islam yang agak bijaksana dalam menangani politik dalaman yang masih lagi kuat pengaruh sekularismanya mahupun politik antarabangsa khususnya tekanan-tekanan daripada negara-negara yang pro normalisasi dengan Israel.

Sehingga ke hari ini Tunisia masih lagi bertegas tidak akan mengadakan apa-apa kerjasama dengan negara haram Israel.

Secara asasnya, Tunisia adalah pencetus kepada kebangkitan rakyat Arab yang diistilahkan dengan Arab Spring yang merebak di kebanyakan negara Arab yang diperintah dengan kuku besi seperti Mesir, Libya dan Syria.

Di Libya, berlakunya kebangkitan rakyat yang bermula di bandar Benghazi, timur Libya seterusnya merebak ke bandar Sirti sehingga ke ibunegara Libya, Tripoli. Namun keadannya tidak sama dengan Tunisia, kebangkitan ini ditangani dengan kekerasan oleh Muammar Qaddafi sehingga mencetuskan perang saudara antara tenteranya dan rakyat yang bangkit menentangnya.

Peperangan yang berlarutan selama 9 bulan ini mengorbankan ribuan rakyat Libya dan puluhan ribu lagi kehilangan rumah kediaman dan lari meninggalkan Libya. Akhirnya pada tanggal 20 Oktober 2011 ibu negara Tripoli jatuh dan Muammar Qaddafi dibunuh oleh rakyatnya sendiri.

Selepas kejatuhan regim Muammar Qaddafi, keadaan di Libya sebenarnya bertambah buruk. National Transitional Council (NTC) yang kemudiannya diiktiraf PBB sebagai kuasa pemerintah yang sah ke atas Libya mendapat tentangan daripada ketua - ketua puak di Libya dan daripada dalam NTC sendiri memandangkan NTC terdiri daripada beberapa gabungan kumpulan penentang yang sama -sama bersatu memerangi regim Muammar Qaddafi.

NTC setelah mengambil alih pemerintahan Libya menggesa agar pelucutan senjata dilaksanakan supaya tidak berlaku pertumpahan darah namun tidak diendahkan oleh banyak puak dan kumpulan.

Pembahagian kuasa di antara kumpulan dalam NTC dan pemerintahan Libya juga menimbulkan rasa tidak puas hati sesama mereka memandangkan ada di antara kumpulan - kumpulan ini mendapat sokongan negara tertentu yang membekalkan senjata dan kewangan dengan tujuan dan agenda tertentu.

Akhirnya akibat daripada perselisahan dan perseteruan ini, telah meletus semula pergolakan dan perang saudara baru di Libya yang sehingga hari ini masih berlangsung dan menafikan kedamaian serta kesejahteraan yang dijanjikan setelah tamat era regim Muammar Qaddafi.

Kemarahan rakyat Arab terus membara sehingga merebak pula ke Mesir. Setelah berminggu rakyat Mesir berdemonstrasi secara aman, ianya ditangani dengan kekerasan oleh regim Hosni Mubarak sehingga mengakibatkan ribuan ditangkap dan ratusan lagi yang terbunuh dan cedera. Akhirnya Hosni Mubarak mengumumkan perletakan jawatan setelah 30 tahun menjadi presiden Mesir.

Kejatuhan Hosni Mubarak memberi nafas baru kepada rakyat Mesir yang sudah lama mengimpikan kebebasan. Akhirnya satu pilihanraya bebas diadakan yang membawa kemenangan kepada calon daripada Ikhwan Muslimin, Mohammed Mursi yang dipilih oleh rakyat untuk menjadi Presiden Mesir yang kelima.

Disangkakan panas berpanjangan rupanya hujan di tengahari, begitulah perumpamaan politik Mesir. Keadaan yang tenang dan menggembirakan rakyat Mesir ini tidak berpanjangan apabila Presiden Morsi digulingkan oleh Menteri Pertahanannya Abdul Fattah As-Sisi sehingga membawa kepada penahanannya dan akhirnya ‘syahid’ di dalam penjara.

Di sebelah selatan Semenanjung Arab pula, berlaku kebangkitan rakyat Yaman yang menuntut presidennya Ali Abdullah Salleh meletakkan jawatan. Demonstrasi aman bertukar menjadi ganas sehingga merebak dan membawa kepada perang saudara.

Yaman agak berbeza dengan negara-negara Arab lain yang diperintah dengan kuku besi. Yaman di antara negara Arab yang agak bebas untuk memberi pandangan terhadap kerajaan. Gerakan Islam bergerak dengan bebas bahkan menjadi tempat perlindungan kepada pejuang-pejuang Islam Palestin dan mereka yang ditindas oleh regim Arab lain. Isu utama kemarahan rakyat Yaman terhadap kepimpinan Ali Abdullah Salleh adalah nepotisma dan salahguna wang rakyat.

Setelah berbulan-bulan Ali Abdullah Salleh bertahan akhirnya beliau digulingkan oleh puak pemberontak Al-Houthi dan dibunuh di kampung halamannya sendiri.

Di Syria pula rakyatnya bangkit menentang regim Basyar Al-Asad dengan keluar ke jalan raya secara aman. Demonstrasi yang bermula secara aman di bandar Dar'a, selatan Syria ini akhirnya membawa kepada perang saudara yang berlangsung sehingga ke hari ini akibat tidak adanya toleransi dari regim Basyar Al-Asad dengan rakyatnya.

Arab Spring : Iktibar Di Sebaliknya.

1- Jangan Berlaku Zalim.

Regim-regim Arab yang telah meninggalkan nama ini menjadi iktibar kepada Dunia Islam bahawa pemerintahan kuku besi akhirnya membawa kepada kebinasaan. Hosni Mobarak, Muammar Qadaffi dan Hafiz Al-Asad adalah di antara nama - nama yang seharusnya menjadi iktibar kepada umat dan Dunia Islam.

Pemerintahan secara kuku besi yang hanya memberikan faedah kepada sekelompok kecil dan menzalimi selebihnya hanya akan mengundang kebinasaan akhirnya. Seperti Libya yang kaya dengan sumber minyak dan gas, semenjak dari dahulu hasil dan kekayaan tidak dinikmati oleh rakyat kebanyakkan dan dikaut kemewahannya oleh pemimpin yang zalim.

Ini adalah kerana kezaliman hanya akan mengundang padah apabila berlaku kesedaran dan kebangkitan rakyat selain memberi imej dan nama buruk kepada Islam apabila secara tidak langsung mengaitkannya dengan tindakan keganasan mahupun pengganas akibat daripada tindakan pemerintah yang zalim.

2- Tinggalkan Islam Binasa.

Bangsa Arab dahulu adalah satu bangsa yang hina dan hidup dalam jahiliyyah dengan menyembah berhala, berbunuhan antara satu sama lain, melakukan akhlak terkeji dan bersikap zalim ke atas golongan yang lemah. Akhirnya mereka menerima Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW lalu menjadi bangsa yang mulia memimpin satu pertiga dunia dengan obor Islam.

Sudah menjadi sunnatullah (Ketetapan Allah) jatuh bangunnya satu-satu bangsa adalah kerana pegangan mereka kepada ugama Islam dan bukan kerana kehebatan bangsa dan kaum. Setelah bangsa Arab meninggalkan Islam maka bangkit kaum lain silih berganti membawa obor Islam.

Terakhirnya ialah bangsa Turki yang membina tamadun Islam di bawah kerajaan Islam Uthmaniyyah yang berpusat di Istanbul, Turki selama lebih daripada 500 tahun.

Di ambang kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyyah, penjajah Barat telah meniup semangat
kebangsaan Arab bagi mendapat sokongan kabilah-kabilah Arab di Semenanjung Arab kononnya bagi menentang kezaliman bangsa Turki yang menjajah mereka dan mengembalikan semula kuasa bangsa Arab memimpin Dunia Islam.

Maka perancangan ini berjaya sehingga terlerainya kerajaan Islam Uthmaniyyah pada tahun 1924 yang membawa kepada perpecahan dan melemahkan umat dan Dunia Islam hingga ke saat ini. Kelemahan umat dan Dunia Islam saat ini terpapar jelas kerana ketika ini umat dan Dunia Islam senantiasa ditindas dan mengikut sahaja halatuju yang ditetapkan oleh musuh - musuh Islam.

3- Bersatu Teguh Bercerai Roboh

Ketika zaman Khilafah Uthmaniyyah, kekuatan Islam jelas kelihatan apabila umat dan Dunia Islam bersatu disamping mengamalkan ajaran Islam yang sebenar berpandukan Al Quran dan Hadis. Di era tersebut, timur Eropah seperti Moldovia, Crimea, Hungry dan Serbia ( dahulunya Chechoslovakia ) berada dibawah Khilafah Uthmaniyyah.

Luasnya jajahan Khilafah Uthmaniyyah turut menandakan perkembangan Islam turut sampai ke negara - negara tersebut. Malah Khilafah Uthmaniyyah juga pada kurun ke 16 pernah menghantar tentera ke Acheh untuk membantu pemerintah Acheh ketika itu yang sedang berperang dengan Portugis yang telah menjajah Melaka.

Khilafah Uthmaniyyah adalah contoh jelas kesatuan umat dan Dunia Islam mampu mencorakkan kegemilangan Islam. Kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah dan kekalutan umat serta Dunia Islam pada ketika itu selepas perang dunia pertama akibat bersekongkol dengan musuh Islam menghancurkan kesatuan umat dan Dunia Islam.

Kali terakhir umat dan Dunia Islam memaparkan kekuatan ialah pada akhir dekad lalu ialah ketika krisis “ Oil Embargo 1973 “. Walaupun seketika namun ia jelas memaparkan bahawa jika umat dan Dunia Islam bersatu, ia mampu menggerunkan musuh - musuh Islam.

Krisis tersebut berlaku akibat sokongan negara - negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Kanada, Jepun, Belanda, Portugal dan Afrika Selatan terhadap Israel ketika perang Arab - Israel 1973. Negara - negara pengeluar minyak dari Asia Barat mengenakan “ embargo “ penjualan minyak mentah ke atas negara - negara tersebut hingga menyebabkan harga minyak mentah di pasaran dunia naik hampir 300%.

Ia juga turut menyebabkan krisis ekonomi dan hampir mengubah landskap geopolitik dunia ketika itu. Embargo tersebut berakhir pada Mac 1974 dan ia menyedarkan dunia barat khususnya Amerika Syarikat akan bahayanya jika ia berulang kembali. Menariknya, “ Oil Embargo “ tersebut dicetuskan oleh Al Malik Faisal Bin Abdul Aziz, Raja Arab Saudi yang memerintah ketika itu, yang pro Palestin dan menentang serta menolak sepenuhnya regim Israel.

Maka tidak hairanlah saat ini Amerika Syarikat dan sekutunya mempertahankan penguasaan geopolitik yang sedang dikuasainya di Asia Barat. Dunia Barat sebenarnya belajar dari pengalaman lalu namun tidak umat dan Dunia Islam. Kelemahan dan perpecahan umat dan Dunia Islam saat ini sebenarnya merobohkan kesatuan umat dan Dunia Islam serta belum nampak tanda pengakhirannya.

Hakikatnya apa yang berlaku ketika Arab Spring hanya mengeluarkan bunga dan bukannya buah. Ia menimbulkan bibit - bibit kesedaran di kalangan bangsa Arab sebelum terbit kebangkitan sebenar mereka.

Arab Spring sebenarnya membawa harapan kepada penduduk negara-negara Arab ke arah kehidupan yang lebih baik dan bebas daripada pemerintahan diktator oleh pemimpin - pemimpin mereka yang zalim dan sering menindas tanpa memperdulikan nasib mereka.

Walaupun telah sepuluh tahun berlalu, pastinya obor kebangkitan Arab Spring masih belum terpadam dan tersemat di kalangan bangsa Arab yang sedar bahawa perubahan dan kebangkitan perlu untuk mengubah masa depan dan nasib mereka.

Semoga semangat dan kebangkitan bangsa Arab bersama Islam menjelma kembali agar ia mampu mengubah masa depan dan mengembalikan kegemilangan umat dan Dunia Islam sebagaimana mula Islam menyinar di Dunia Arab ketika pembukaan Madinah dan Mekah dahulu.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnha Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo