ALOR SETAR - UMNO Perak perlu mengakui kesilapan dan memohon maaf kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS Perak bagi memastikan negeri itu tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).
Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, langkah UMNO itu agak janggal kerana tidak membawa permasalahan di Perak kepada UMNO Pusat dan mengemukakan tindakan yang bakal dilakukan.
Menurutnya, agak mustahil kemelut di Perak tidak dapat dihidu UMNO Pusat atau mereka gagal mengawal UMNO Perak sehingga bertindak mengemukakan dan menolak usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
“Mengapa UMNO Perak tidak bawa permasalahan itu dan kemukakan langkah yang mahu diambil kepada Pas Perak sebagai sekutunya dalam Muafakat Nasional. Jika UMNO mahu tukar Menteri Besar mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO tidak terus kemukakan usul tidak percaya dan bukannya usul percaya.
"Mengapa ADUN UMNO yang kemukakan usul percaya itu, mengundi pula tidak sokong usul percaya yang mereka sendiri bawa?,” soalnya.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, semua pihak perlu lebih ikhlas ‘berkawan’ termasuk ketua kerajaan yang perlu sentiasa berunding dengan parti gabungan.
“Parti rakan yang tidak berpuas hati dengan ketua kerajaan perlu kemukakan masalah melalui saluran yang betul supaya hubungan tidak berantakan.
"Adalah menjadi kesilapan besar sekiranya UMNO mengenepikan Pas di Perak kerana berdasarkan keputusan PRU14 lalu walaupun UMNO menang 27 kerusi DUN tetapi parti itu sebenarnya menang mutlak di lima kerusi sahaja.
“Lima kerusi itu adalah DUN Kenering yang memperoleh 7,379 undi, yang akan menang dengan majoriti 1,436 undi jika undi calon Pas (4,111 undi) dan calon PH (1,832 undi) digabungkan (5,943 undi), DUN Lintang (10,605 undi), akan menang majoriti 1,122 undi jika undi calon Pas (3,460 undi) dan calon PH (6,023 undi) digabungkan (9,483 undi).
DUN Rungkup (6,529 undi), akan menang majoriti 639 jika undi calon Pas (2,430 undi) dan PH (3,460 undi) digabungkan (5,890 undi),” katanya.
Kamarul Zaman berkata, dua lagi kerusi adalah DUN Kota Tampan (5,183 undi) yang akan menang dengan majoriti 468 undi jika undi calon Pas (2,881) dan calon PH (1,834) digabungkan (4,715 undi) manakala DUN Temengor (5,716), akan menang majoriti 129 undi jika undi calon Pas (3,888) dan PH (3,806) digabungkan (7,694 undi).
Katanya, bagi 22 kerusi selebihnya, jumlah undi diperoleh calon UMNO yang menang tidak mencecah separuh daripada jumlah undi keseluruhan.
“Sebagai contoh, DUN Kuala Sepetang memperoleh 8,993 undi, akan kalah majoriti 5,967 undi jika undi calon Pas (6,296) dan calon PH (8,664) digabungkan (14,960 undi). Bagi DUN Changkat Jong (11,216), akan kalah dengan majoriti 5,767 undi jika undi calon Pas (5,834) dan calon PH (11,149) digabungkan (16,983 undi).
Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/113503/BERITA/Politik/UMNO-Perak-perlu-akui-kesilapan-elak-negeri-jatuh-kepada-PH
No comments
Post a Comment