SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, beliau tidak akan menjalin sebarang kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan segala janji dan kata-kata ditaburkan Ahli Parlimen Port Dickson itu langsung tidak boleh dipercayai.
"Kita tawar kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Plus, tetapi Anwar tolak saya bulat-bulat.
"Saya tawarkan untuk jadi Perdana Menteri selama enam bulan saja, dia tolak. Saya bagi nama Shafie (Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) pun dia tak nak.
"Masalahnya sekarang, Anwar tak ada cukup sokongan tapi asyik cakap ada majoriti utuh, kuat dan meyakinkan.
"Eh, you (awak) pergi baliklah!" katanya pada sidang media Majlis Amanat Perjuangan 2021, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Pemudanya, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin.
Anwar kelmarin dilaporkan berkata gagasan baharu yang bakal dibentuk PH terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pemimpin parti politik, termasuk Dr Mahathir.
Bagaimanapun, tawaran itu diberikan secara bersyarat, iaitu perlu mematuhi segenap prinsip yang digariskan gagasan baharu PH dan tidak boleh mempunyai sebarang agenda peribadi.
Mengimbau peristiwa pada 2008, Dr Mahathir berkata, bekas Menteri Kewangan berkenaan mengakui mempunyai sokongan yang mencukupi dalam kalangan Ahli Parlimen, selepas kerajaan diterajui Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu hanya meraih majoriti tipis.
Bagaimanapun, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PEJUANG, berkata dakwaan 'manis' itu langsung tidak mempunyai asas.
"Cuba kamu kira berapa kali Anwar pernah janji dan tunaikan janji dia? Sebab itu saya langsung tak percaya apa lagi dia nak cakap.
"Saya dulu sanggup ketepikan masa silam dan bekerjasama dengan Anwar, tetapi sekarang dia yang tak nak bekerjasama dengan saya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir menegaskan yang PEJUANG mempunyai 'pelan B' sekiranya Pendaftar Pertubuhan (RoS) masih bertegas untuk tidak meluluskan pendaftaran parti itu.
"Kita ada pelan B, tetapi ia rahsia lah. Sama juga macam nasib menimpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) apabila dibatalkan pendaftarannya pada saat akhir.
"Kita masih boleh mengharungi pilihan raya dengan cara lain," katanya.
No comments
Post a Comment