KUALA LUMPUR: Satu sindiket yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal terbongkar pada Selasa.
Sinar Harian melaporkan taktik jahat kartel tersebut dibongkarkan dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.
Daging yang diimport dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina dibungkus semula dan diletak logo halal yang dicap di sebuah kilang di Ulu Tiram dan dijual di seluruh negara.
Menurut laporan Sinar Harian, hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.
Tindakan itu dibuat bagi menyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.
Operasi diketuai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu mendapati kartel terbabit mengupah pekerja warga asing bagi melakukan kerja pembungkusan semula dengan mereka diberi kemudahan asrama penginapan di situ.
Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi berkata, dalam serbuan itu sebanyak 1,500 tan daging sejuk bernilai RM30 juta telah disita.
“Buat masa ini kita masih menyiasat lagi bagaimana daging sejuk beku yang kebanyakannya diseludup dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina boleh terlepas masuk,” katanya.
Operasi berkenaan turut disertai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Saiful Yazan berkata, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan mendapatkan stok daging sejuk beku dari luar negara sebelum dikatakan diseludup melalui Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
"Bagi memastikan kegiatan penyeludupan terbabit berjaya, mereka (sindiket) dipercayai akan menggunakan dokumen palsu termasuklah borang Kastam, permit import, sijil halal atau pun resit bayaran.
"Bagi mengaburi mata pihak berkuasa pula, sindiket turut mengimport daging daripada sumber yang sah sebelum dibawa ke gudang terbabit di Senai," katanya.
Saiful Yazan berkata, setelah itu, daging-daging terbabit akan diletakkan di satu bahagian khas untuk disimpan.
Katanya, pemeriksaan lanjut juga mendapati daging yang dicurigai itu kemudian akan dibuat pembungkusan semula di dalam sebuah bilik yang dilengkapi mesin pemotong.
Difahamkan kerja-kerja pembungkusan itu dilakukan beberapa pekerja warga Bangladesh.
"Daging atau organ dalaman tersebut akan dimasukkan di dalam kotak sebelum ditampal dengan pelekat serta dicap dan dilabel seakan-akan daging terbabit adalah halal.
"Siasatan kita mendapati cap logo berkenaan ditempah dari sebuah premis percetakan di Ulu Tiram dekat sini. Malah, kita juga mengesan pembuatan pelekat yang dihasilkan sendiri di gudang berkenaan," katanya.
No comments
Post a Comment