Singapura menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19 pada Isnin petang, menjadi negara pertama di Asia menerima vaksin yang dihasilkan Pfizer-BioNTech. -Reuters |
Singapura menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19 pada petang Isnin, sekali gus menjadi negara pertama di Asia menerima vaksin yang dihasilkan Pfizer-BioNTech.
Memetik laporan CNA, penghantaran tersebut diterbangkan menggunakan pesawat Singapore Airlines (SIA) 747-400 yang berlepas dari Brussels pada Ahad dan mendarat di Lapangan Terbang Changi, Singapura jam 7.36 petang.
Ketibaan vaksin tersebut disambut oleh Menteri Pengangkutan, Ong Ye Kung sebelum dipindahkan ke dalam kemudahan rangkaian sejuk SATS Ltd.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengumumkan pihak berkuasa Singapura meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech bagi membendung pandemik COVID-19 dan menjangka penghantaran pertama akan diterima akhir Disember.
Vaksin ini juga diterima seminggu sebelum republik itu melaksanakan pembukaan semula ekonomi fasa ketiga bermula 28 Disember ini.
Singapura merupakan antara negara terawal yang meluluskan dan menerima vaksin COVID-19.
Negara lain yang sudah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech adalah Britain, Amerika Syarikat, Kanada, Switzerland, Bahrain dan Qatar.
Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada pula sudah memulakan program vaksinasi.
Untuk rekod, program vaksinasi di Singapura adalah secara sukarela dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi seperti barisan hadapan termasuk petugas perubatan selain warga emas.
Menurut Lee sebelum ini, beliau dan barisan Kabinetnya juga antara penerima awal vaksin di negara itu bagi meyakinkan rakyat vaksin tersebut adalah selamat.
- Astro Awani
No comments
Post a Comment